Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Pasangan suami isteri berdepan hukuman mati apabila ditahan polis bersama hampir 20 kilogram ganja di tempat letak kenderaan sebuah premis di Kuala Kedah di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pasangan berusia 29 dan 33 tahun itu ditahan pada jam 10.30 malam oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

AHMAD Shukri (tengah) menunjukkan 20 plastik lutsinar mengandungi ganja mampat seberat hampir 20 kg. FOTO Zuliaty Zulkiffli
AHMAD Shukri (tengah) menunjukkan 20 plastik lutsinar mengandungi ganja mampat seberat hampir 20 kg. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Katanya, pasukan serbuan melakukan pemerhatian selama 20 minit di lokasi sebelum sebuah kereta Proton Saga masuk ke kawasan tempat letak kenderaan di kawasan itu.

"Pegawai dan anggota serbuan menahan suspek dan melakukan pemeriksaan sebelum menemukan dua beg di atas kerusi penumpang belakang.

"Pemeriksaan lanjut menemukan 20 balutan plastik lut sinar yang kesemuanya berisi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja dengan anggaran berat keseluruhan 19.8 kilogram," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil semakan rekod mendapati, lelaki itu mempunyai satu rekod jenayah lampau Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 pada tahun 2020 manakala isterinya tidak mempunyai sebarang rekod.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati, kedua-duanya bebas dari pengambilan dadah.

"Susulan daripada tangkapan itu, pihak kami turut menyita sebuah kereta jenis Chevrolet milik mereka dan sebuah motosikal di rumah mereka di kawasan Kuala Kedah untuk tindakan lanjut," katanya.

Ahmad Shukri berkata, jumlah dadah yang dirampas bernilai RM50,000 dan wang tunai sebanyak RM4,430 menjadikan nilai keseluruhan rampasan termasuk dua kereta dan sebuah motosikal dianggarkan lebih RM68,000.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut mengikut Seksyen 39B ADB 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 15 sebatan.

"Pasangan itu direman selama tujuh hari sehingga 11 September ini untuk membantu siasatan," katanya.

Dalam pada itu Ahmad Shukri berkata, hasil siasatan mendapati dadah itu diperoleh dari selatan negeri ini untuk dipasarkan di sekitar daerah ini.

Beliau berkata, mereka dipercayai baru mengambil bekalan dadah itu untuk dihantar kepada pelanggan mereka di sekitar daerah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2022 @ 1:53 PM