Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Tiga lelaki dan seorang wanita tempatan ditahan polis bersama 16 kilogram (kg) ganja mampat bernilai RM50,250 dalam dua serbuan berasingan di daerah Kota Setar, Khamis lalu.

Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata, dalam serbuan pertama, polis menahan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Aruz dinaiki dua lelaki berusia 24 dan 43 tahun di Kampung Kuala Alor, Jalan Alor Mengkudu pada 1.30 pagi.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di tempat duduk penumpang bahagian tengah kenderaan itu menemukan enam balutan plastik lut sinar yang di dalamnya mengandungi dadah disyaki ganja anggaran berat 6.2 kilogram (kg).

"Berikutan itu, polis menahan dua lelaki terbabit untuk siasatan lanjut. Nilai dadah yang dirampas RM19,250 selain wang tunai bercampur bernilai RM100 turut dirampas.

"Dua tangkapan itu direman sehingga 10 Januari ini di lokap Balai Polis Alor Setar dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Bahagian III ADB 1988 bagi sitaan wang tunai," kata pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini, hari ini.

Fisol berkata, susulan itu, pihaknya menahan seorang lelaki serta wanita berusia 36 dan 32 tahun yang menaiki kereta BMW merah pada 4.10 pagi dalam serbuan di tepi lorong, Kampung Kuala Alor, Jalan Alor Mengkudu, Simpang Kuala, pada hari sama.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemukan kotak di dalam terdapat 10 balutan plastik lut sinar di dalamnya mengandungi dadah disyaki ganja dianggarkan seberat lebih 10kg.

"Berikutan itu, polis menahan kedua-dua suspek untuk membantu siasatan. Nilai dadah yang dirampas dalam serbuan kedua itu adalah RM31,000 dan wang tunai bercampur-campur yang dirampas sebanyak RM100.

"Kedua-dua suspek itu juga ditahan reman sehingga 10 Januari ini bagi Seksyen 39 ADB 1952 dan Bahagian IIu ADB 1988 bagi sitaan wang tunai," katanya.

FISOL (kiri) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Zuliaty Zulkiffli
FISOL (kiri) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2024 @ 5:05 PM