Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Dua guni kuning yang ditemui dalam semak berhampiran sebuah rumah di Kilometer 3, Lebuhraya Sultan Abdul Halim dalam serbuan polis Sabtu lalu membongkar penemuan 29 ketulan ganja mampat yang dipercayai diseludup dari Thailand.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman pada jam 11.10 malam.

Menurutnya, dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun di hadapan rumah berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut kemudian menemui dua lelaki warga Thailand masing-masing berusia 34 dan 45 tahun di rumah itu yang disyaki rumah suspek pertama yang ditahan.

"Hasil pemeriksaan menemui 29 ketulan mampat masing-masing dibaluti pita pelekat lutsinar mengandungi daun hijau mampat disyaki dadah jenis ganja dianggarkan seberat 29.8 kilogram (kg) di kawasan semak kira-kira lima meter di hadapan rumah berkenaan.

"Siasatan lanjut mendapati, suspek utama yang juga rakyat tempatan itu dipercayai pengedar manakala dua lelaki Thailand itu pula berperanan sebagai 'transporter'.

"Kita percaya dadah itu disyaki dibawa dari Thailand melalui jalan darat namun siasatan masih diteruskan, " katanya pada sidang media di IPD Kota Setar, di sini hari ini.

Ahmad Shukri berkata, berdasarkan rekod, suspek tempatan itu bekerja sebagai pekebun dan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal terhadap ketiga-tiga suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan tetra hydrocannibol (THC).

ASISTEN Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir (kiri) menunjukkan sebahagian dadah rampasan jenis ganja. FOTO Luqman Hakim Zubir
ASISTEN Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir (kiri) menunjukkan sebahagian dadah rampasan jenis ganja. FOTO Luqman Hakim Zubir

"Jika dadah itu terlepas, ia boleh digunakan oleh 130,000 penagih dadah.

"Jumlah keseluruhan ganja yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM74,675.

"Selain dadah, polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda milik lelaki tempatan itu dan wang tunai berjumlah RM6,000," katanya.

Ahmad Shukri berkata, ketiga-tiga lelaki itu direman selama tujuh hari sehingga esok dan pihaknya akan memohon dari mahkamah supaya tempoh reman itu ditambah.

"Kes tersebut disiasat mengikut 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2023 @ 12:26 PM