Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Nelayan antara 91 individu yang ditahan kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah dalam serbuan di Kuala Kedah, di sini.

Serbuan Op Khas Bersepadu dilakukan sejak 24 Januari hingga semalam itu dilakukan bagi membersihkan lokasi yang menjadi sarang penagih dadah terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, daripada 91 individu terbabit, seramai 66 ditahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, manakala 21 ditahan mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan empat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

"Turut dirampas pelbagai jenis dadah antaranya heroin seberat 80.61 gram, syabu seberat 22.69 gram, ubat batuk 11.2 liter dan air ketum 49.3 liter yang keseluruhannya bernilai RM8,000," katanya pada sidang media di Balai Polis Kuala Kedah, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir (dua dari kanan) melakukan pemeriksaan terhadap sebahagian dari penagih dadah yang kebanyakannya nelayan yang ditahan di sekitar Kuala Kedah dalam Ops Khas Bersepadu. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir (dua dari kanan) melakukan pemeriksaan terhadap sebahagian dari penagih dadah yang kebanyakannya nelayan yang ditahan di sekitar Kuala Kedah dalam Ops Khas Bersepadu. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh.

Katanya, kebanyakan nelayan yang ditahan dipercayai memperoleh dadah di darat dan menggunakan bahan itu ketika berada di laut.

Sementara itu, pihaknya turut melakukan serbuan ke atas tiga premis loteri haram dan menahan 11 individu untuk siasatan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 6:42 PM