TER Pulau Tali Kail antara yang ditutup. FOTO NSTP
TER Pulau Tali Kail antara yang ditutup. FOTO NSTP
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


SEMUA Taman Eko Rimba (TER) dan kawasan rekreasi di bawah Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) kekal ditutup untuk sebarang aktiviti meskipun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa.

Pengarah JPNPk, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, langkah itu selaras dengan pengecualian bagi aktiviti Eko-Pelancongan Hutan biarpun Sektor Pengurusan Hutan antara sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi semula mulai esok.

Katanya, penutupan itu meliputi 14 TER di lima pentadbiran Pejabat Hutan Daerah (PHD) iaitu Lata Kekabu, Pulau Tali Kail, Ulu Kenas, Kledang Saiong, Ulu Kinta, Papan, Pasir Panjang, Ulu Licin, Sungai Salu, Bukit Larut,Kuala Woh, Lata Iskandar, Lata Kinjang dan Pusat Eko-Pelajaran Hutan Paya Laut Matang.

"Justeru, semua aktiviti rekreasi, riadah, perkelahan dan mandi-manda yang membabitkan kehadiran orang ramai di Taman Eko Rimba terbabit adalah dilarang dan tidak dibenarkan.

"Larangan juga merangkumi aktiviti pendakian, sukan basikal lasak dan permotoran di semua laluan pendakian dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) Perak serta aktiviti senaman dan berjoging," katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, larangan itu turut terpakai bagi kawasan rekreasi Bukit Kledang di Menglembu, Ipoh dan Pusat Perkelahan Ulu Chepor, Chemor kerana ia masih berstatus HSK walaupun pada awalnya dibangunkan oleh orang awam.

"Mana-mana pihak atau individu yang ingkar boleh dikenakan tindakan mengikut Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985, Akta Polis 1967 atau Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Selain itu, mereka juga boleh didakwa di bawah Peraturan 7 serta Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020," katanya.

Menurutnya, keputusan itu diambil sebagai langkah berwaspada bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 di samping sebagai tanda sokongan kepada petugas barisan hadapan serta kerajaan.

Katanya, tarikh pembukaan semula kesemua TER itu akan dimaklumkan menerusi portal rasmi Jabatan melalui pautan www.perakforestry.gov.my

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2020 @ 1:46 PM