Annuar Musa (tengah) melakukan gimik pelancaran Jualan Murah Keluarga Malaysia DE Dagang di Plaza Shah Alam hari ini. FOTO BERNAMA
Annuar Musa (tengah) melakukan gimik pelancaran Jualan Murah Keluarga Malaysia DE Dagang di Plaza Shah Alam hari ini. FOTO BERNAMA
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Program Jualan Murah Keluarga Malaysia @ DE Dagang (JMKM@DE Dagang) dijangka memberi manfaat kepada 100,000 perniagaan tempatan dengan Jumlah Jualan Kasar (GMV) melebihi RM1.5 bilion menerusi lima juta transaksi.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, menerusi kempen program itu, 17 Rakan Platform Digital akan menawarkan promosi dan insentif mampu beli kepada rakyat Malaysia bermula bulan ini hingga Disember depan.

Menurutnya, kempen selama empat bulan itu hanya dihadkan kepada warganegara Malaysia sahaja dengan mengemukakan maklumat pengenalan diri semasa transaksi dibuat.

"Melalui kempen ini, rakyat Malaysia boleh menebus insentif yang ditawarkan daripada 17 rakan platform seperti Bizapp. InstanteStore, Jocom, Kravve, Kumoten, Lokein.com, Maybank, Rtist, SiteGiant, Wonderfly dan juga platform luar negara seperti Fave, FoodPanda, Grab, Lazada, OYO Hospitality, Shopee, dan TikTok.

"Kempen ini bertujuan membantu mengurangkan beban perbelanjaan rakyat dan selari dengan aspirasi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi iaitu menurunkan kadar inflasi dan harga makanan yang disokong penuh oleh Kementerian Kewangan.

"Kempen ini adalah sebahagian daripada inisiatif Belanjawan 2022, JMKM@DE DAGANG bersama Rakan Platform Digitalnya juga akan menyalurkan manfaat dan sokongan kewangan bernilai RM300 juta kepada perniagaan tempatan melalui pelbagai platform e-Dagang dan e-Bayar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Jualan Murah Keluarga Malaysia @ DE Dagang di Plaza Shah Alam di sini, hari ini.

Annuar berkata, sebagai permulaan, pihaknya perlu melihat keberkesanan kempen yang dilaksanakan oleh

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu dalam tempoh empat bulan ini sebelum langkah seterusnya dibuat.

"Kita buat dulu (kempen JMKM@DE Dagang), jika sambutannya bagus dan bermanfaat...Insya-Allah akan ada pengumuman dalam sidang belanjawan akan datang untuk tahun hadapan," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, JMKM@DE DAGANG adalah kesinambungan program yang dilancarkan termasuk Jualan Murah Keluarga Malaysia, Jualan Murah Rangkaian Koperasi, dan Jualan Murah @ Kampus yang dilancarkan Ogos lalu.

"Rakyat boleh berbelanja pada harga berpatutan dan tidak membebankan terutamanya barangan harian seperti produk keperluan asas dan runcit, makanan, malah perkakas rumah boleh didapati dengan potongan harga sehingga 20 peratus atau maksimum RM100 untuk setiap transaksi.

"Kempen ini juga akan membantu usahawan dalam sektor sasaran seperti produk-produk halal, hasil pertanian dan produk buatan Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2022 @ 5:14 PM