EBIZLINK manfaatkan 350 pengeksport Malaysia melalui 18 kempen global yang dilaksanakan pada 2021.
EBIZLINK manfaatkan 350 pengeksport Malaysia melalui 18 kempen global yang dilaksanakan pada 2021.
Bisnes HM

PROGRAM Electronic Business Linkage (eBizLink) menjana jualan eksport melebihi RM40 juta dan memanfaatkan 350 pengeksport Malaysia melalui 18 kempen global yang dilaksanakan pada 2021.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Sharimahton Mat Saleh berkata, sektor makanan dan minuman (F&B) menyumbang RM25 juta atau 60 peratus daripada jumlah jualan program berkenaan, diikuti produk penjagaan diri dan sarung tangan perubatan.

"Produk dan perkhidmatan lain yang diperoleh dari Malaysia termasuk barangan pengguna bergerak pantas (FMCG), produk kesihatan dan perkhidmatan e-dagang," katanya.

Menurutnya, sehingga kini, sembilan kempen eBizLink sudah selesai, termasuk Ekspo Digital Festival Beli-belah JD618 di China; Hari Jualan Dalam Talian ASEAN (AOSD) di Myanmar, Vietnam, Singapura, Indonesia dan Thailand; dan Choose Malaysia Promotion Programme di Kemboja.

"Lain-lain termasuk Program Promosi Malaysia sempena Caexpo 2021 di China, Flavors of Malaysia di Belanda, Asian Grocery & eMarket Place di Australia, Festival Malaysia di Hong Kong, Kempen Dalam Talian dengan Platform e-Dagang di Pakistan, serta Kempen Dalam Talian dengan Health & Glow di India," katanya.

"Sembilan lagi kempen masih diteruskan di Asia Timur Laut, Asia Tenggara, Asia Tengah dan Amerika Utara," tambahnya.

Dilancarkan pada Julai 2021, eBizLink ialah inisiatif baharu di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) kerajaan yang diberi mandat kepada Matrade dengan matlamat mempergiatkan promosi eksport Malaysia secara digital.

Menurutnya, inisiatif eBizLink menyediakan alternatif baharu untuk pengeksport Malaysia mempromosikan produk dan jenama mereka kepada bakal pelanggan antarabangsa melalui platform dalam talian dan luar talian (O2O).

Ia terutamanya dengan memanfaatkan pengaruh pasaran dan pemimpin pendapat utama (KOL) yang mempunyai jutaan pengikut di media sosial masing-masing.

"Pejabat global Matrade membabitkan KOL tempatan untuk mempromosikan produk dan jenama Malaysia melalui pelbagai saluran media sosial dalam talian yang menjangkau khalayak lebih luas pada kadar lebih pantas berbanding media tradisional," katanya.

Menurutnya, antara kempen global yang berjaya ialah penyertaan Malaysia dalam Ekspo China-Asean (Caexpo) di Nanning, China, menyaksikan Matrade Guangzhou bekerjasama dengan jenama terkemuka di luar negara (OPB), dengan KOL tempatan terbabit untuk mempromosikan acara itu melalui pelbagai saluran media sosial di China.

"Kempen itu diadakan dari 1 hingga 30 September 2021 dan merekodkan jualan eksport RM4.78 juta, dengan sumber utama produk termasuk produk durian, rempah ratus, sarang burung dan keropok," katanya.

Sementara itu, di Pakistan, RM8.69 juta jualan telah dijana daripada eBizLink melalui kerjasama antara Matrade Mumbai dan Ecommerce Private Ltd, di bawah portal perniagaan-ke-perniagaan (B2B), EcomBRI.com.

"Kempen itu diadakan bermula 30 November hingga 3 Disember 2021 dengan penjagaan diri sebagai produk utama selain sarung tangan getah dan F&B yang diperoleh daripada pembeli perdagangan Pakistan," katanya.

Di Myanmar, ia berkata, kempen bertema Malaysia Ayatha: The Most Exclusive Live Showcase of Malaysian Brands dipromosikan melalui Facebook di halaman Malaysia Ayatha dan rakan media Duwun, yang mempunyai lebih 8.6 juta pengikut di Facebook.

"Lebih 100 jenama Malaysia dipromosikan semasa kempen dari 3 hingga 26 Disember 2021 itu dengan sejumlah RM12.16 juta jualan eksport berjaya dijana," katanya.

Menurutnya, untuk 2022, lebih daripada 20 kempen global dijadualkan untuk mencapai sasaran KPI eBizLink 600 syarikat yang dibantu dan menjana RM60 juta jualan eksport.

Antara pasaran utama yang disasarkan ialah Amerika Utara, Amerika Selatan, Eropah, Asia Barat dan Asia Tenggara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 7:00 AM