PENGGUNA yang mengeluarkan wang di ATM.
PENGGUNA yang mengeluarkan wang di ATM.

Kuala Lumpur: Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan bermula 1 April ini mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna memandangkan masih ramai yang belum faham bagaimana ia dilaksanakan.

Selain dijangka membabitkan perubahan pada harga barangan pengguna, GST turut memberi kesan kepada sektor perkhidmatan di mana terdapat beberapa bidang yang akan dikenakan GST kelak.

Sebelum ini timbul khabar angin mengatakan caj enam peratus akan dikenakan untuk transaksi pengeluaran wang di mesin pengeluaran automatik (ATM) dan ia bergantung kepada jumlah pengeluaran yang dibuat.

Dalam erti kata lain, sekiranya pengguna mengeluarkan wang sebanyak RM100, maka mereka akan dikenakan GST sebanyak RM6 untuk transaksi berkenaan.

Namun, andaian berkenaan tidak benar sama sekali kerana caj enam peratus itu hanya dikenakan ke atas transaksi yang dilakukan dan bukan jumlah pengeluaran.

Malah, caj itu juga dikenakan sekiranya pengguna mengeluarkan duit di mesin pengeluaran selain daripada bank mereka.

Menerusi kenyataan rasmi MEPS Malaysia, pengguna yang mengeluarkan duit menggunakan mesin ATM yang berlainan daripada kad bank sendiri akan dikenakan caj sebanyak RM1.06 termasuk cukai GST berkuat kuasa mulai 1 April 2015.

Berbeza berbanding sebelum ini, pengguna hanya dikenakan caj sebanyak RM1 untuk setiap transaksi menerusi rangkaian MEPS. Bagaimanapun, cukai GST dikenakan pada caj MEPS dan bukan pada jumlah transaksi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2015 @ 8:02 AM