Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Seramai 241,470 peniaga mendapat manfaat melalui Program Jualan Murah Keluarga Malaysia @ DE-Dagang yang dijalankan di seluruh negara sejak 3 September lalu dengan hasil jualan RM1.67 bilion.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, hasil program itu juga, RM58.65 juta berjaya disalurkan kepada rakyat dalam bentuk potongan harga, rebat, diskaun, yuran pendaftaran dan yuran transaksi.

Katanya, 91,000 usahawan yang menyertai DE-Dagang adalah wanita yang sekali gus memberi peluang untuk mereka menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran digital bagi memajukan perniagaan.

"Program berkenaan membantu menjana pendapatan usahawan dengan mengguna pakai teknologi digital yang boleh meningkatkan jualan.

"Selain itu, suka juga saya berkongsi kejayaan kementerian melatih lebih 450,000 rakyat Malaysia yang mampu menjana pendapatan keseluruhan RM1.05 bilion menerusi program eUsahawan.

"Kecekalan dan semangat Keluarga Malaysia juga memainkan peranan sebagai pemacu utama dalam semua aktiviti pemulihan ekonomi negara," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Jelajah #SayaDigital Keluarga Malaysia di Politeknik Kota Bharu, Kok Lanas di sini, hari ini.

ANNUAR (kiri) melawat salah satu kiosk yang dibuka di Program Jelajah #SayaDigital Keluarga Malaysia di Politeknik Kota Bharu, Kok Lanas. FOTO Syaherah Mustafa
ANNUAR (kiri) melawat salah satu kiosk yang dibuka di Program Jelajah #SayaDigital Keluarga Malaysia di Politeknik Kota Bharu, Kok Lanas. FOTO Syaherah Mustafa

Kerajaan melaksanakan program Jualan Murah Keluarga Malaysia @ DE-Dagang yang membolehkan rakyat membeli barangan pada harga lebih murah secara dalam talian selama tiga bulan.

Program itu yang memberi diskaun pembelian secara dalam talian, dikendalikan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan kerjasama 17 platform e-dagang terpilih dari luar negara dan tempatan.

Annuar yang juga Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi berkata, 995 peserta sudah berdaftar dalam Program Jelajah #SayaDigital Keluarga Malaysia di Kelantan.

"Usaha ini akan diteruskan lagi bagi melahirkan lebih ramai rakyat yang celik dan mahir digital selaras dengan kemajuan ekonomi semasa.

"Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dan MDEC juga terus komited dengan memastikan impak program yang lebih berkesan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 4:02 PM