MERDEKA Rero Micro dicipta sebagai kenderaan pasukan keselamatan yang menyertai perbarisan sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka. FOTO Ahmad Hasbi
MERDEKA Rero Micro dicipta sebagai kenderaan pasukan keselamatan yang menyertai perbarisan sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka. FOTO Ahmad Hasbi
Ahmad Hasbi

Seremban: Robot hasil ciptaan pereka cilik dari Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Ahmad Manaf di Nilai ini bukan saja kreatif malah mempunyai elemen patriotik.

Robot yang diberi nama Merdeka Rero Micro itu dicipta sempena dengan perarakan sambutan Hari Kebangsaan yang mana digambarkan sebagai kenderaan digunakan ketika upacara berkenaan di Dataran Merdeka.

Guru Penolong Kanan Kokurikulum SK Dato Dato Ahmad Manaf, Azrie Abu Talib berkata, rekaan berkenaan adalah cetusan idea daripada murid sebelum ditambah baik guru penyelaras serta guru subjek Reka Bentuk dan Teknologi.

"Kami berpendapat setiap kanak-kanak mempunyai keinginan untuk menyaksikan perarakan sambutan Hari Kebangsaan yang diadakan secara besar-besaran di Dataran Merdeka pada tanggal 31 Ogos.

"Dengan pelbagai kenderaan dan perisai daripada pasukan keselamatan, ia pastinya memberi keterujaan kepada kanak-kanak. Namun, ia pasti mengecewakan jika ada kanak-kanak yang tidak berpeluang menyaksikannya, jadi timbul idea untuk menghasilkan ciptaan ini," katanya ketika ditemui.

Azrie berkata, pada mulanya pihaknya cuba menghasilkan robot menggunakan lego, namun kosnya terlalu tinggi sebelum mencadangkan menggunakan program dan perkakasan Cytron Micro bit v2.0.

"Selepas murid mencetuskan idea ini, mereka perlu membuat tetapan pengkodan (coding). Mereka menetapkan supaya robot ini berjalan dalam satu garisan hitam yang digambarkan sebagai laluan di Dataran Merdeka.

"Pada robot ini juga terdapat lampu LED yang dikodkan mengikut tema warna Jalur Gemilang selain ia juga mengeluarkan muzik daripada lagu Tanggal 31 nyanyian Allahyarham Sudirman," katanya.

Menurutnya, bagi menambahkan lagi elemen kemerdekaan dan patriotisme, murid menghias robot dengan patung tentera selain menggunakan latar belakang Bangunan Sultan Abdul Samad yang menjadi mercu tanda Dataran Merdeka.

"Sebenarnya robot ini dicipta sekumpulan murid pada 2018 lagi dan ia ditambah baik dari semasa ke semasa. Buat masa ini robot berkenaan hanya menarik kenderaan mainan pasukan keselamatan.

"Mungkin pada masa hadapan kami akan menambah baik dengan menghasilkan robot sebagai kenderaan atau perisai itu sendiri dan ia mungkin memerlukan kos yang lebih tinggi," katanya.

Mengulas lanjut, Azrie berkata, pasukan sekolahnya pernah beberapa menyertai pertandingan dan mendapat juara dalam Pertandingan Inovasi dan Rekacipta (IRC) peringkat kebangsaan pada 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2022 @ 11:36 AM