TAN Sri Acryl Sani Abdullah Sani bertemu pengunjung pada Program ‘ Road March ‘ sempena Peringatan Hari Polis ke 215 tahun 2022 di Dataran Merdeka. FOTO FATHIL ASRI.
TAN Sri Acryl Sani Abdullah Sani bertemu pengunjung pada Program ‘ Road March ‘ sempena Peringatan Hari Polis ke 215 tahun 2022 di Dataran Merdeka. FOTO FATHIL ASRI.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Program Road March Sempena Peringatan Hari Polis ke-215 2022 di Dataran Merdeka, di sini, hari ini, disambut meriah dengan kehadiran ribuan warga kota.

Acara yang julung kali diadakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu bermula sejak jam 7 pagi mencuri tumpuan orang ramai dengan pelbagai aktiviti termasuk menawarkan pengurangan kompaun saman trafik sehingga 50 peratus bagi semua saman terpilih.

Keadaan itu sekali gus menyaksikan kaunter pembayaran saman yang dibuka di Dataran Merdeka diserbu ratusan orang yang berbaris panjang tanpa mengira cuaca panas terik dengan ada di antara mereka membawa payung.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saabudin berkata, program itu diadakan dengan kerjasama strategik bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Penerangan Malaysia.

"Ia bertujuan menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat Keluarga Malaysia untuk melihat perarakan dan persembahan terutamanya daripada cawangan pancaragam PDRM.

"Inisiatif ini memberi kelainan dalam kalendar sambutan peringatan Hari Polis pada tahun ini yang menjadi salah satu usaha PDRM mendekati masyarakat selari dengan tema 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada'," katanya dalam kenyataan, hari ini.

ORANG ramai beratur untuk membayar saman di Dataran Merdeka. FOTO FATHIL ASRI
ORANG ramai beratur untuk membayar saman di Dataran Merdeka. FOTO FATHIL ASRI

Program itu dirasmikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL, Ismadi Sakirin.

Dalam majlis perasmian itu, terdapat aksi payung terjun VAT 69 Komando PDRM yang menarik perhatian pengunjung yang membanjiri Dataran Merdeka untuk menyaksikan acara berkenaan.

Enam Komando VAT69 yang terbabit adalah Sarjan Mohd Hazlan Zakaria; Koperal Pakurazi Ismail; Koperal Azwandi Ali; Sarjan Ahmad Basri Salleh; Koperal Pragash Murugesu dan Koperal Khairul Az'ehar.

Selain itu, terdapat karnival mini dengan pelbagai aktiviti menarik sempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Antara gerai dan pameran dalam program itu adalah jabatan dalam PDRM serta gerai jualan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) selain persembahan pancaragam, pertandingan mewarna, persembahan 'live band' dan tarian yang turut diadakan.

ANTARA pertunjukan sempena program Road March sempena Peringatan Hari Polis ke-215. FOTO FATHIL ASRI.
ANTARA pertunjukan sempena program Road March sempena Peringatan Hari Polis ke-215. FOTO FATHIL ASRI.

Selain itu, terdapat juga perarakan unit berkuda, perarakan kenderaan, persembahan aksi tiger platoon, persembahan Unit Anjing Pengesan (K9), aksi menunggang motosikal PDRM, pameran helikopter, aset PDRM serta kereta mewah Lamborghini dan motosikal berkuasa tinggi Harley-Davidson.

Program itu yang dianjurkan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman berlangsung bermula jam 7 pagi hingga 6 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2022 @ 7:44 PM