MAMU (depan) bersama peserta SAREX siri 10.
MAMU (depan) bersama peserta SAREX siri 10.
Khairulmizan Yahya

Kuantan: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur merekodkan seramai 279 individu yang dilaporkan hilang di perairan pantai timur Semenanjung sepanjang tempoh 10 tahun lalu masih belum ditemui sehingga ke hari ini.

Pengarah Maritim Wilayah Timur Laksamana Pertama Maritim Datuk Mamu Said Alee berkata, statistik itu direkodkan pihaknya sejak mula ditubuhkan iaitu membabitkan sebanyak 304 operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang pernah dikendalikan.

“Daripada jumlah kes terbabit, seramai 623 mangsa berjaya diselamatkan manakala 129 mangsa lagi meninggal dunia,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Latihan Mencari dan Menyelamat (SAREX) Wilayah Maritim Timur di Ibu Pejabat APMM, Indera Mahkota, di sini, semalam.

Mamu berkata, kegagalan dalam aspek keselamatan seperti tidak memakai jaket keselamatan antara penyebab mangsa tidak dapat diselamatkan, selain lewat menerima laporan daripada pihak berkenaan termasuk keluarga mangsa.

“Hasil pemeriksaan pihak APMM terhadap bot kecil mendapati beberapa keperluan atau kelengkapan keselamatan ketika berada di laut tidak dititikberatkan terutama pemakaian jaket keselamatan yang dianggap remeh oleh sesetengah pihak.

“Selain itu, faktor lain seperti persekitaran, keadaan laut, cuaca serta kesesuaian aset juga mempengaruhi operasi SAR dijalankan,” katanya.

Menurutnya, pelbagai strategi dilaksanakan APMM dalam meningkatkan kesedaran pengguna maritim antaranya penganjuran program Pencegahan SAR dan program Sahabat Maritim yang dilaksanakan setiap tahun di peringkat negeri atau wilayah timur.

“Selain pelbagai aktiviti kesedaran seperti kempen, ceramah dan pengedaran risalah keselamatan di beberapa lokasi tumpuan, APMM turut menjalinkan kerjasama dengan komuniti maritim seperti nelayan dan pengusaha bot pelancongan,” katanya.

Sementara itu, Mamu berkata, SAREX Wilayah Maritim Timur siri 10 itu membabitkan 16 agensi dan jabatan kerajaan termasuk wakil ejen perkapalan, pengusaha feri serta persatuan nelayan.

“Seramai 350 peserta menyertai latihan berkenaan dengan menggunakan 21 aset termasuk kapal, bot, jet ski, dan ambulans pelbagai agensi manakala latihan di laut akan diadakan di perairan Teluk Cempedak, di sini, esok (hari ini),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2016 @ 9:21 AM