WARGA emas menghidap epilepsi atau sawan dibawa keluar daripada Pulau Redang oleh APMM until dihantar ke HSNZ. FOTO ihsan APMM
WARGA emas menghidap epilepsi atau sawan dibawa keluar daripada Pulau Redang oleh APMM until dihantar ke HSNZ. FOTO ihsan APMM
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Kapal Maritim (KM) Redang melakukan misi bantuan terhadap seorang warga emas menghidap penyakit epilepsi atau sawan di Pulau Redang, dekat sini, petang semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri, Kepten Maritim Muhammad Suffi Ramli berkata, lelaki berusia 78 tahun itu dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi mendapatkan bantuan perubatan dan tindakan susulan.

Beliau berkata, operasi pemindahan perubatan (Medevac) itu dilakukan selepas pihaknya dihubungi Maritime Rescue Sub Centre Kuantan bagi melaksanakan bantuan berkenaan pada 2.15 petang.

"Susulan itu, KM Redang yang sedang menjalankan operasi di sekitar perairan pulau itu diarahkan ke lokasi bagi melaksanakan khidmat Medevac.

"Pesakit dibawa keluar dari pulau itu pada 3.50 petang sebelum tiba di jeti APMM, Pulau Kambing pada 5.50 petang dan dikejarkan ke HSNZ menggunakan ambulans hospital," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Suffi berkata, perjalanan membawa mangsa ke jeti APMM Pulau Kambing mengambil masa sedikit lama berikutan keadaan laut bergelora.

Katanya, perjalanan dari Pulau Redang ke jeti APMM biasanya mengambil masa selama satu jam setengah, namun keadaan cuaca dan laut bergelora menyebabkan perjalanan sedikit perlahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 1:34 PM