Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: "Kena ingat, nak berhibur ada hadnya," tegas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad terhadap pihak yang mempertikai tindakan Pemuda PAS membantah penganjuran konsert antarabangsa di negara ini.

Idris berkata Islam tidak melarang hiburan atau anti sosial namun mempunyai batas tersendiri.

"Sama seperti makan dan minum, apa yang boleh kita ikutlah. Hiburan pun sama, bukan semua benda kita boleh bebas," katanya ditemui selepas menyampaikan bantuan banjir kepada 11 keluarga di Dewan Kampung Air Kuning, Cangkat Jering di sini, hari ini.

Tindakan Pemuda PAS yang membantah penganjuran konsert antarabangsa di Malaysia dipertikai pihak tertentu yang menganggap soal hiburan adalah hak masing-masing.

Bagaimanapun Idris menasihatkan pihak yang mempertikaikan tindakan itu supaya tidak bercakap hanya sekadar bercakap.

"Jangan bercakap (soal kebebasan) ikut selera mulut sahaja. Jangan anggap semua benda boleh bebas, jika nak semua bebas maka kita tak perlu ada undang-undang," katanya.

Dalam perkembangan lain Idris menegaskan kerajaan tidak berdiam atau menutup mata tentang isu pusat penyembelihan di Australia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui pasukan audit halal akan ke negara berkenaan dalam kadar segera untuk audit siasatan.

IDRIS Ahmad. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
IDRIS Ahmad. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2022 @ 4:49 PM