PENYAKIT kulit kental berbonjol (LSD). FOTO Ihsan MAQIS
PENYAKIT kulit kental berbonjol (LSD). FOTO Ihsan MAQIS
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bagan Serai: Kerajaan negeri memberi jaminan lembu yang akan dijadikan korban sempena Hari Raya Aidiladha esok bebas penyakit kulit kental berbonjol (LSD).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Razman Zakaria berkata, setiap lembu yang akan dijadikan korban diperiksa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Menurutnya, setakat ini pihaknya tidak mengesan lembu yang dikhaskan untuk ibadah korban berisiko mengalami penyakit LSD.

"Orang ramai tidak perlu bimbang kerana JPV tidak sewenang-wenangnya membenarkan lembu yang dijangkiti penyakit itu dibawa masuk ke negeri ini untuk dijadikan korban.

"Hanya lembu yang melalui pemeriksaan dan mempunyai surat dari JPV dibenarkan manakala yang mempunyai simptom penyakit LSD akan diasingkan dan dikuarantin," katanya ditemui media selepas mengadakan lawatan di Pasar Segar Terkawal (PST) di Dewan Surau Al Faizin, Taman Serai Permai disini, hari ini.

RAZMAN (dua kanan) meninjau premis buah-buah di dalam PST Dewan Surau Al Faizin, Taman Serai Permai. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
RAZMAN (dua kanan) meninjau premis buah-buah di dalam PST Dewan Surau Al Faizin, Taman Serai Permai. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Katanya, baru-baru ini JPV Kedah menjangkakan kira-kira 17,000 lembu dan kerbau ternakan di negeri itu berisiko dijangkiti penyakit LSD namun di Perak tiada kes seperti itu dilaporkan.

Sementara itu, Razman menegaskan kewujudan PST yang dianjurkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berjaya membantu nasib pengusaha produk pertanian memasarkan hasil tanaman sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disamping dapat mengatasi masalah lambakan.

Menurutnya di Perak terdapat 11 lokasi PST dan purata jualan hasil jualan keseluruhan setiap bulan adalah hampir RM 500,000.

"Melihat sambutan yang menggalakkan FAMA bercadang untuk menambahkan lagi PST seperti ini namun kekurangan premis kekal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 1:01 PM