Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Taiping: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menasihatkan orang awam tidak mudah terpengaruh dengan sebarang ajaran pelik sebaliknya merujuk perkara itu pada pihak berkaitan untuk kesahihannya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad.

Beliau berkata, orang ramai yang ingin mendalami ilmu agama seharusnya mempelajari daripada pihak betul.

"Bagi mereka yang ingin belajar agama, biarlah daripada medium yang betul seperti di surau atau masjid dan jika berlaku sesuatu yang tidak bertul (terpesong), pihak Jakim boleh ambil tindakan segera.

"Kita kena guna rasional akal, mengaji di tempat tersembunyi seperti di bukit, sepatutnya perkara ini tidak berlaku.

"Jika ajaran yang mereka buat ini betul, kenapa mereka tidak buat di surau atau masjid?"katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Musa'adah Banjir Mukim Bukit Gantang di Dewan Orang Ramai, Matang Gelugor, di sini.

IDRIS (tengah) ketika sidang media selepas majlis penyampaian bantuan. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
IDRIS (tengah) ketika sidang media selepas majlis penyampaian bantuan. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Dalam program itu 280 keluarga mangsa banjir dari tiga kampung iaitu Kampung Matang Gelugor, Matang dan Jebong menerima sumbangan bakul makanan dan wang RM100.

Mengulas lanjut ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT), beliau menegaskan satu kenyataan berhubung bahayanya ajaran sesat dikeluarkan pihaknya bagi memastikan orang ramai tidak mudah terpengaruh dan terpesong.

"Berhubung ajaran PMYT itu kita ucapkan terima kasih atas tindakan pantas pihak PDRM yang telah membawa mereka ini ke pihak pengadilan.

"Kita memandang serius perkara ini kerana isu yang mereka bawa bukan sahaja agama malah melibatkan keselamatan negara," katanya.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan merujuk sebarang ajaran pelik dan meragukan kepada pihak berkaitan atau sekurang-kurangnya imam setempat bagi memastikan ajaran itu benar atau sebaliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 12:14 PM