Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bukit Gantang: Keputusan Pas menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini tidak akan menjejaskan hubungan Pas dan Umno di bawah Muafakat Nasional.

Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata penggunaan lambang PN pada PRN Melaka bukannya membawa maksud melawan Umno.

Menurutnya, Pas masih dalam perpaduan ummah antara parti Pas, Umno dan Bersatu serta masih menghadapi musuh yang sama iaitu Pakatan Harapan (PH) pada PRN Melaka.

"Soal gosip liar yang mengatakan Pas seolah cuba menentang Umno itu pada PRN Melaka adalah satu persepsi yang tidak betul," katanya ringkas kepada media selepas menyampaikan sumbangan bantuan Musa'adah Banjir kepada 127 penerima di Dewan Sungai Kerang di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Trong, Jamilah Zakaria.

Idris Ahmad dalam sidang media selepas program penyerahan bantuan Musa'addah banjir di Dewan Sungai Kerang,Trong. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Idris Ahmad dalam sidang media selepas program penyerahan bantuan Musa'addah banjir di Dewan Sungai Kerang,Trong. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI

Sementara itu, ditanya mengenai tentang jawatan sebagai Naib Presiden Pas dalam Muktamar Pas pada Sabtu ini, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan ahli Pas membuat pemilihan tentang jawatan itu sama ada mengekalkan dirinya atau memilih senarai calon yang ada.

"Saya tidak pernah melobi bagi mendapat sebarang jawatan yang ada di dalam parti termasuk pada pemilihan jawatan Naib Presiden Pas yang akan berlangsung pada minggu ini.

"Dalam Pas, sesiapa dipilih dan dilantik untuk memegang sesuatu jawatan itu menandakan akan menggandakan bebanan yang bakal digalas di bahunya.

"Pas adalah berbeza dari parti yang lain, sebarang jawatan dilantik bukan bermakna untuk meraih kesenangan namun lebih kepada supaya memegang jawatan itu mengalas tugas dan amanah dipertanggungjawabkan kepada dirinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 6:24 PM