Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Larut: Tindakan menukarkan anggota polis dan penjawat awam yang bermasalah serta berdepan isu salah laku ke Sabah dan Sarawak adalah langkah yang tidak betul, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, tidak semua penjawat awam yang berdepan masalah salah laku dan disiplin akan 'dilonggokkan' di Sabah dan Sarawak, sebaliknya ada yang dihantar ke setiap negeri di seluruh Malaysia.

"Ini tak betullah. Sebab yang kita tangkap itu ramai. Jika kita ada 13 pesalah, kita akan hantar atau 'pusing-pusingkan' mereka ini di seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian penutup Program Komuniti Bebas Jenayah dan Dadah Bersama Menteri Dalam Negeri di Ijok, Selama, di sini, hari ini.

HAMZAH (duduk, tengah)  bersama masyarakat selepas merasmikan penutup Program Komuniti Bebas Jenayah dan Dadah Bersama Menteri Dalam Negeri. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
HAMZAH (duduk, tengah) bersama masyarakat selepas merasmikan penutup Program Komuniti Bebas Jenayah dan Dadah Bersama Menteri Dalam Negeri. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana penjawat awam terbabit dalam aktiviti jenayah dan penyalahgunaan dadah.

"Kita akan lihat bentuk kesalahan yang mereka lakukan. Jika kesalahan yang dilakukan sehingga menjual dadah, hukumannya akan berat sekali.

"Bagi yang dah pun terjebak dengan penyalahgunaan dadah, kita akan hantar mereka ini untuk jalani pemulihan sebelum dikembalikan kepada masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 4:18 PM