GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tujuh warga asing direman tujuh hari bermula hari ini bagi mambantu siasatan penemuan mayat lelaki tempatan dalam but kereta di Jalan Tugu di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, permohonan reman sehingga 5 September itu dibenarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi tadi.

"Kebenaran reman ini akan membantu polis dalam menyiasat motif pembunuhan dan setakat hari ini tiada tangkapan baharu dilakukan," katanya kepada Bernama, hari ini.

Dalam pada itu, Noor Dellhan berkata, proses bedah siasat mayat mangsa belum selesai dan punca kematian belum dapat dikenal pasti.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Semalam polis menahan lima lelaki dan dua wanita, kesemuanya warga asing berusia 20 hingga 26 tahun bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat lelaki berusia 41 tahun itu.

Media melaporkan mayat lelaki dipercayai pemandu e-hailing ditemukan dengan kaki diikat menggunakan kain serta kesan cedera pada muka dan telinga dalam but Perodua Bezza yang ditinggalkan di Jalan Tugu kira-kira 6.30 pagi.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 4:45 PM