Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Membungkus semula dadah ke dalam pek jus minuman supaya mudah digunakan penagih khususnya di pusat hiburan.

Itu taktik dikesan oleh sindiket pengedaran dadah yang berjaya ditumpaskan oleh Polis Johor di sini, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tindakan sindiket itu terbongkar apabila pihaknya melakukan dua serbuan sekitar daerah ini, antara 2.30 pagi hingga 5 pagi semalam.

Katanya, seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

"Modus operandi kegiatan pengedaran dadah ini adalah dengan menyewa apartmen mewah yang berpagar dan mempunyai pengawal keselamatan untuk dijadikan tempat penyimpanan dadah.

"Hasil siasatan kita mendapati bekalan dadah diperoleh akan dibungkus semula ke dalam pek jus minuman ini yang mana dalam pek ini mengandungi dadah jenis syabu dan ketamin sebelum dijual di pusat-pusat hiburan di sekitar bandar raya ini dengan harga RM250 bagi satu pek," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Menurut Kamarul Zaman, pihaknya turut merampas 3.91 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 153 gram syabu, 276g ketamin, 759 biji pil eramin 5 seberat 159 gram dan 123 biji pil ektasi seberat 37 gram yang keseluruhan bernilai RM266,375.

Beliau berkata, dadah yang dirampas itu boleh digunakan seramai 22,653 penagih sekiranya terlepas ke pasaran.

Selain itu, katanya, polis turut merampas dan menyita dua kereta bernilai RM111,000, wang tunai RM4,100 dan satu loket emas bernilai RM1,200.

Kamarul Zaman berkata, sindiket itu dipercayai sudah melakukan jenayah itu sejak Mei lalu dan pihaknya masih mengesan sekiranya terdapat dalang atau individu lain yang terbabit.

"Hasil saringan awal air kencing suspek mendapati dia negatif daripada sebarang jenis dadah, namun hasil semakan pula mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

"Suspek kini direman tujuh hari bermula semalam hingga 30 Ogos untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Sebagai rekod, Kamarul Zaman berkata, sejak Januari hingga semalam, Polis Johor berjaya membuat tangkapan seramai 9,366 individu atas kesalahan dadah dan membuat rampasan dadah sebanyak 2.59 tan.

Katanya, keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM16.62 juta dan nilai keseluruhan harta sitaan setakat ini bernilai RM6.82 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 2:33 PM