NORMAWATI menunjukkan gambar abangnya, Norzi yang ditemukan meninggal dunia dengan kesan luka. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
NORMAWATI menunjukkan gambar abangnya, Norzi yang ditemukan meninggal dunia dengan kesan luka. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi

Parit: Punca kematian lelaki yang ditemukan dengan kesan luka di leher di hadapan rumahnya di Kampung Merua di sini, semalam adalah kerana kehilangan darah yang banyak disebabkan serangan haiwan.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, punca kematian itu diperoleh hasil bedah siasat dilakukan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh jam 9.15 pagi tadi.

Katanya, luka pada mangsa berpadanan dengan haiwan seperti anjing atau seumpamanya.

Menurutnya, kematian mangsa juga didapati berpunca daripada jangkitan Covid-19 dan saluran darah tersumbat.

"Pemeriksaan luaran mangsa mendapati ada luka di bahagian muka kiri dan leher serta beberapa helai bulu haiwan di sekeliling luka berkenaan.

"Pemeriksaan dalaman menunjukkan dua saluran darah jantung mangsa sudah tersumbat dengan keadaan yang teruk. Mangsa juga mengalami jangkitan Covid-19," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Justeru katanya, kes itu yang sebelum inu dilaporkan akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, diklasifikasikan semula sebagai mati mengejut.

Semalam media melaporkan, Norzi Jaafar, 58, ditemui meninggal dunia dalam keadaan terlentang dengan kesan luka di leher dipercayai dilibas senjata tajam di hadapan rumahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2022 @ 3:38 PM