Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Parit Buntar: Wanita warga emas ditemui maut dengan kesan tikaman pada leher dalam bilik tidur di rumahnya di Kampung Tersusun Simpang Lima, di sini, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata mangsa berusia 61 tahun itu ditemukan oleh jirannya pada jam 6.45 petang sebelum dimaklumkan pada pihak polis.

"Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan separuh bogel dengan kesan darah pada bantal, tilam dan dinding.

"Pemeriksaan lanjut menemukan kesan luka potong dan luka tikaman pada telinga, leher dan pipi mangsa.

"Terdapat juga kesan lebam di lengan mangsa dipercayai berlaku pergelutan dengan suspek ketika cuba mempertahankan diri," katanya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya siasatan lanjut mendapati suspek memecah masuk rumah mangsa berikutan terdapat kesan umpil pada tingkap.

Tambahnya tiada barang berharga milik mangsa yang hilang dan mangsa tinggal sendirian di rumah berkenaan.

"Mayat dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan kesan luka tikaman pada leher.

"Usaha mengesan suspek giat dijalankan dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian itu," katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan bunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau di talian 05-721222 bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 7:56 PM