FAIZAL dipertanggungjawabkan sebagai duta yang membawa nama negara dan menunjukkan kepada dunia kualiti dimiliki oleh pemain Malaysia agar lebih ramai lagi pemain akan dipikat untuk beraksi di liga utama hoki. FOTO Arkib NSTP
FAIZAL dipertanggungjawabkan sebagai duta yang membawa nama negara dan menunjukkan kepada dunia kualiti dimiliki oleh pemain Malaysia agar lebih ramai lagi pemain akan dipikat untuk beraksi di liga utama hoki. FOTO Arkib NSTP
Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Bukan sesuatu yang mudah untuk meninggalkan isteri dan anak-anak di tanah air serta berkelana di Eropah selama 10 bulan kerana tuntutan tugas sebagai atlet.

Ia menagih pengorbanan daripada atlet itu sendiri dan juga isteri kerana ia dilakukan hanya atas satu keinginan iaitu mengharumkan nama Malaysia agar seluruh dunia mengenali kualiti atlet yang ada di negara ini.

Biarpun atlet bukanlah tentera yang dipertanggungjawab menjaga keamanan negara, namun darah mengalir dalam seorang atlet juga adalah darah pejuang yang berjuang demi lencana di dada dan misi mengharumkan nama negara dalam situasi berbeza.

Tugas itulah digalas oleh bintang hoki negara, Faizal Saari yang kini berada di Belanda untuk menyertai Liga Premier Belanda (Hoffdklasse) bersama Kelab Hoki ZSV Schaerweijde.

Faizal kini menjadi pemain Malaysia yang pertama bakal beraksi di Liga Utama Belanda.

Sebelum ini pemain berasal dari Terengganu itu pernah berkampung di Eropah dan beraksi di Jerman, Australia serta India namun Faizal mengakui tugasnya kali ini adalah berbeza.

Dia akan dipertanggungjawabkan sebagai duta yang membawa nama negara dan menunjukkan kepada dunia kualiti dimiliki oleh pemain Malaysia agar lebih ramai lagi pemain akan dipikat untuk beraksi di liga utama di Belanda ataupun Belgium selepas ini.

Faizal, 31, mengakui bahawa tugas itu amat berat namun pada masa sama teruja untuk mempamerkan aksi bersama kelab terkemuka Belanda itu.

"Syukur saya masih diberi peluang. Ia peluang yang dinantikan. Demi negara Malaysia saya akan buat yang terbaik.

"Baik untuk saya dan baik untuk pemain negara yang lain. Ini kerana kita tahu Liga Belanda tempo permainan mereka sangat tinggi jadi ia bagus untuk saya dan pasukan negara.

"Saya akan cuba sedaya upaya mengharumkan nama Malaysia. Saya berjanji akan lakar nama di sana dan berusaha bermain dengan bagus. Ini kerana peluang yang diperoleh bukan mudah untuk dapat," katanya.

Malah, pesanan sudah diberikan kepada Faizal oleh ketua jurulatih, Arul Selvaraj yang mana Faizal bukan hadir ke bumi Belanda itu sebagai seorang individu tapi dia adalah duta hoki Malaysia yang membawa misi membuka mata dunia luar akan kehebatan yang dimiliki pemain negara.

"Faizal ada tugas khas. Mesej saya kepada Faizal dia pergi bukan sebagai Faizal Saari tapi dia pergi sebagai wakil Malaysia dan dipertanggungjawabkan untuk menunjukkan kepada dunia kualiti yang ada oleh pemain negara.

"Faizal bawa bebanan tinggi sebagai wakil pemain yang lain. Dia kena buktikan kepada kelab lain bahawa jika mereka ambil pemain kita mereka tidak akan menyesal dengan kualiti yang kita ada.

"Misi saya adalah saya mahu seluruh pemain negara dapat berkampung di Eropah tahun depan," kata Arul.

FAIZAL (kiri) ketika bersama pasukan  Terengganu Hockey Team (THT) pada perlawanan  Liga Hoki Malaysia di Stadium Hoki Batu Buruk, Mac lalu. FOTO Ghazali Kori
FAIZAL (kiri) ketika bersama pasukan Terengganu Hockey Team (THT) pada perlawanan Liga Hoki Malaysia di Stadium Hoki Batu Buruk, Mac lalu. FOTO Ghazali Kori

Khidmat Faizal dan kepantasannya sebagai penyerang berbisa akan turut ditagih sebagai persediaan skuad negara menghadapi Piala Dunia 2023 di India yang dijadualkan berlangsung dari 13 hingga 29 Januari 2023.

Dia dijangka kembali ke tanah air pada November untuk beraksi dalam Liga Hoki kebangsaan sebelum kembali semua ke Belanda sekitar bulan Mac atau April tahun depan.

Sepanjang Faizal di Belanda, prestasinya akan dipantau dan dibekalkan dengan sistem GPS yang akan membantu Arul dan jurulatih kecergasan skuad senior kebangsaan, Tom Drowley memantau prestasi dan persembahan Faizal semasa beraksi di liga berkenaan.

Faizal dilahirkan pada 13 Januari 1991 di Terengganu namun dibesarkan di Kampung Telaga Mas, Rantau Panjang, Kelantan.

Mula bermain hoki sejak di bangku sekolah rendah iaitu di Sekolah Kebangsaan Kok Pauh, Rantau Panjang, Kelantan sebelum melanjutkan pelajarannya di peringkat menengah ke Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP), Kota Tinggi, Johor atau sekarang dikenali sebagai Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI).

Dia membuat kemunculan bersama pasukan senior kebangsaan dalam Cabaran Juara-Juara II di Dublin pada tahun 2009 di usia 18 tahun.

Malah, menjadi sebahagian anggota skuad Malaysia yang memenangi pingat perak di Sukan Asia 2010 dan sebahagian daripada pasukan remaja negara yang memenangi Hoki Piala Remaja Asia 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2022 @ 7:00 AM