FAIZAL (kiri) akan bersama skuad negara di saingan Piala Negara-Negara di Afrika Selatan. FOTO ARKIB NSTP
FAIZAL (kiri) akan bersama skuad negara di saingan Piala Negara-Negara di Afrika Selatan. FOTO ARKIB NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Walaupun penyerang hoki negara, Faizal Saari agak lambat serasi ketika beraksi di Liga Utama Belanda bersama ZSV Schaerweijde, kelab itu masih mahu menggunakan khidmatnya bagi pusingan kedua selepas pemain itu mula menemui rentak.

Perkara itu dikongsikan jurulatih A Arulselvaraj yang mengikut rapat perkembangan penyerang prolifik itu menerusi komunikasi dengan jurulatih kelab berkenaan.

"Akhirnya dia berjaya 'settle down well'. Sekarang kelab itu minta untuk dia (Faizal) bermain lagi pada pusingan kedua liga, tapi saya tidak boleh memberi kata putus mengenainya kerana Faizal mempunyai kontrak bersama Pasukan Hoki Terengganu (THT).

"Mungkin kami perlu berbincang semula menerusi mesyuarat atas talian menggunakan aplikasi Zoom Meeting, antara THT, kelab Belanda dan saya, berbincang untuk perancangan selanjutnya," katanya.

Ketika ditanya mengenai pandangannya sama ada lebih baik Faizal beraksi di Belanda atau kembali ke Liga Hoki Malaysia, Arul mempunyai pendapatnya sendiri.

"Pada pandangan saya, Faizal kembali dengan kematangan tinggi. Pada pandangan kasar saya, Faizal lebih berkeyakinan, berani dan menyerlah kepimpinannya kerana tidak mudah untuk berada di Eropah seorang diri selama tiga bulan.

"Dalam latihan, saya tidak pernah melihat dia fokus seperti ini. Kalau boleh bukan hanya Faizal, tapi semua pemain saya nak hantar bermain di sana kerana liga di sana tempo permainannya tinggi.

"Mungkin untuk tahun depan, kita usahakan menghantar lebih ramai pemain beraksi di liga Eropah," kata Arul.

Faizal kembali memperkuat pasukan kebangsaan untuk menghadapi saingan Piala Negara-Negara, hujung bulan ini dan diharap memberikan impak positif kepada Malaysian Tigers.

"Sebelum hantar Faizal ke Eropah, sememangnya kita tahu tidak akan senaraikan dia di Piala Sultan Azlan Shah, demi kebaikan dia (Faizal) dan jangka panjang hoki negara.

"Jika kita menggunakan pemikiran cetek enggan lepaskan dia ke Belanda dan menyenaraikannya dalam skuad Piala Sultan Azlan Shah, mungkin sia-sia.

"Tanpa kehadiran Faizal, kita gantikan dengan pemain yang tiada kaps dan berhasil, pasukan mencapai prestasi yang baik. Malah ia (menggunakan pemain muda) memberi tekanan kepada Marhan (Jalil), Shahri (Saabah) dan Faizal (Saari) untuk mempertahan posisi," kata Arul.

Skuad negara akan bertolak ke Potchefstroom, Afrika Selatan menaiki pesawat pada 7 malam ini, enam hari lebih awal dari pertandingan yang dijadualkan bermula 28 November, bagi tujuan membiasakan diri dengan cuaca serta venue beraltitud tinggi di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 5:11 PM