Sepang: Penyerang utama skuad hoki negara Faizal Saari terpaksa digugurkan pada saat akhir untuk ke Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Dhaka, Bangladesh selepas mengalami kecederaan hamstring.
Ketua jurulatih skuad negara Stephen Van Huizen yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Dhaka hari ini berkata, selepas menjalani ujian imbasan di Institut Sukan Negara (ISN) semalam, Faizal di dapati mengalami kesan koyakan baru pada bahagian otot di paha kanan.
Berikutan perkembangan terbaru itu, Stephen memilih pemain tengah Muhamad Ramadan Rosli untuk menggantikan Faizal.
"Faizal sudah mengalami kecederaan sejak dua minggu lalu. Kali ini adalah kesan koyakan yang baru.
"Mungkin Faizal boleh beraksi pada saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia, tetapi saya tidak berani untuk membuat sebarang jangkaan," katanya.
Pada saingan di Dhaka yang berlangsung dari 4 hingga 12 Mac, skuad negara diletakkan dalam Kumpulan A bersama-sama Oman, Fiji serta pasukan tuan rumah.
Kejohanan itu adalah sebahagian daripada kempen untuk misi kelayakan ke Piala Dunia 2018.