FAIZAL ketika ditemui pada sesi latihan semalam. FOTO Asyraf Hamzah
FAIZAL ketika ditemui pada sesi latihan semalam. FOTO Asyraf Hamzah
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Penyerang skuad hoki negara, Faizal Saari menyahut cabaran pengendali Malaysian Tigers, Arul Selvaraj untuk mendapatkan sentuhan yang kian lama menghilang.

Faizal atau lebih dikenali dengan nama Abe berkata, sebagai seorang pemain senior, dia mengambil tanggungjawab bagi memastikan Malaysia tidak berputih mata dalam Piala Dunia di Bhubaneswar-Rourkela, India pada 13 hingga 29 Januari depan.

"Saya tak tertekan. Coach Arul bagi tanggungjawab itu, jadi saya kena ambil cabaran itu sebagai seorang pemain senior.

"Bagi saya ia bagus supaya saya 'alert' dan tahu tanggungjawab saya yang sebenar dan buat sehabis baik," katanya.

Untuk rekod, Faizal gagal mempamerkan taringnya ketika kejohanan Piala Negara-Negara di Potchefstroom, Afrika Selatan awal bulan ini apabila sekadar berjaya menyumbat satu gol sahaja daripada lapan jaringan yang berjaya dihasilkan keseluruhan pasukan negara di kejohanan itu.

Sebelum ini, Faizal penjaring terbanyak di beberapa kejohanan utama antaranya ketika Kejohanan Piala Asia 2017, Liga Hoki Dunia 2015, Trofi Juara-Juara Asia 2013 serta Piala Sultan Azlan Shah 2013.

Dalam pada itu Faizal berkata, dia akan menggunakan sebaiknya pengalaman berkelana di bumi Belanda bagi membantu pasukan kebangsaan pada perlawanan pertama menentang negara itu di Piala Dunia nanti.

Jelas Faizal, keputusan positif dari perlawanan pertama sangat penting buat pasukan kebangsaan supaya pemain mendapat rentak untuk aksi yang seterusnya sekali gus dapat mencapai sasaran yang diletakkan mereka di kejohanan itu.

"Masing-masing ada kelebihan, jadi untuk perlawanan pertama kena bijak ambil peluang sebab seperti kita tahu Belanda memang pasukan kuat.

"Sedikit sebanyak dapat beri informasi untuk pasukan kita. Jadi ia dapat membantu perancangan pasukan untuk perlawanan pertama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 5:00 PM