ARUL (berdiri, empat kanan) bersama barisan pemain dan pegawai yang berlepas ke Belgium. FOTO FB MHC
ARUL (berdiri, empat kanan) bersama barisan pemain dan pegawai yang berlepas ke Belgium. FOTO FB MHC
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki senior negara, A Arul Selvaraj berharap ketiadaan Faizal Saari sepanjang siri Jelajah Belgium yang akan bermula Selasa ini hingga 6 Oktober depan, harus dimanfaatkan sepenuhnya barisan penyerang muda negara.

Faizal yang juga penyerang prolifik skuad negara tidak dapat menyertai siri jelajah kali ini kerana mempunyai komitmen bersama kelab ZSV Schaerweijde yang beraksi di liga utama Belanda, Hoofdklasse.

"Kita semua tahu Faizal ketika ini beraksi di Liga Belanda dan ia sangat bagus untuknya kerana tempo permainan di sana sangat tinggi.

"Ketiadaan Faizal harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh barisan pemain muda negara. Sebenarnya tiada pemain spesifik yang menggantikan Faizal.

"Tapi inilah masanya untuk pemain muda membuktikan kemampuan mereka seperti penyerang, Tengku Nasrul (Ikmal Hakimie Tengku Abd Rahim)," katanya ketika dihubungi.

Mengulas perlawanan pertama bertemu Belgium A, Selasa ini, Arul menganggap setiap perlawanan cukup penting meskipun pasukan pertama akan ditemui itu terdiri daripada pemain bawah 23 tahun sambil diperkuatkan dengan beberapa pemain senior.

Beliau berkata, Belgium A boleh dikatakan sebagai pasukan campuran pemain bawah 23 tahun dengan pemain senior.

"Tapi saya yakin mereka masih lagi sebuah pasukan yang kuat kerana liga di sini sangat kompetitif dan mempunyai tempo permainan tinggi.

"Jadi barisan pemain muda ini sudah biasa dengan situasi seperti itu," katanya.

Selepas Belgium A, skuad negara akan bertemu skuad utama Belgium, Rabu ini sebelum bertemu Perancis pada 4 dan 5 Oktober.

Empat perlawanan persahabatan itu adalah sebahagian daripada persiapan skuad negara menjelang Piala Sultan Azlan Shah 2022 yang akan bermula dari 1 hingga 10 November depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 4:12 PM