Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dinyahklasifikan berhubung projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS), membuktikan kerajaan kini lebih telus dalam membincangkan isu berkepentingan rakyat.

Penganalisis keselamatan dan politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, laporan itu sudah tentu sesuatu yang amat dihargai oleh rakyat Malaysia.

Katanya, pendedahan itu adalah satu bentuk pengiktirafan kerajaan bagi memastikan urus tadbir terus berada dalam keadaan yang terbaik.

"Laporan itu amat dihargai oleh masyarakat apabila ia sudah berjaya disiasat dan jawapan diberikan dalam tempoh singkat.

"Bagaimanapun isu berhubung keselamatan negara seperti spesifikasi LCS yang akan diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) seharusnya tidak didedahkan sepenuhnya kepada masyarakat.

"Ini kerana dalam kita membincangkan isu berhubung dengan ketirisan serta urus tadbir, apa yang penting juga adalah pembentukan minda keselamatan supaya rakyat faham kepentingan menjaga rahsia negara dan bersama mempertahankan negara.

"Aspek berkepentingan negara seperti rahsia negara termasuk spesifikasi kapal tempur itu dan kewujudan aset dalam negara sebaik-baiknya tidak dibincangkan secara terbuka di dalam media," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, perkara seperti itu harus difahami oleh masyarakat kerana keselamatan negara adalah isu yang amat sensitif.

"Keupayaan TLDM, keupayaan pertahanan negara juga perlu menjadi satu rahsia negara yang perlu dipelihara," katanya.

Dr Noor Nirwandy berkata, masyarakat juga perlu memberikan ruang kepada kementerian tertentu dan agensi kerajaan, termasuk Perdana Menteri untuk menyelesaikan permasalahan yang sudah pun menjadi skandal besar negara.

Menurutnya, walaupun LCS adalah satu daripada projek komersial tetapi aspek pertahanan negara perlu diberi keutamaan terutamanya dalam menentukan spesifikasi dan keperluan aset pertahanan dalam negara.

"Sewajarnya diwujudkan satu bentuk suruhanjaya ataupun satu pasukan keselamatan negara yang bersidang untuk menentukan apakah keperluan aset berkepentingan negara itu ditambah.

"Ia perlu terdiri dalam kalangan pakar aset keselamatan contohnya bekas Panglima ATM, bekas Ketua Polis Negara. Mereka kena duduk semeja dengan pakar atau pun golongan yang sedang memegang jawatan tertinggi dalam keselamatan negara untuk berbincang apakah keperluan spesifikasi aset dalam negara dan ia perlulah dirahsiakan.

"Perkara ini perlu diwujudkan dengan segera bagi menjamin kesiapsiagaan negara dan elemen berhubung dasar keselamatan negara terutamanya berhubung kedaulatan wilayah dapat dipelihara dengan aset berkepentingan negara dalam aspek pertahanan," katanya.

Semalam, JKSTUPKK mengeluarkan laporan berhubung projek pembinaan LCS mendapati Kementerian Pertahanan (Mindef) tidak mengutamakan kepentingan dan pandangan pihak TLDM selain tidak melaksanakan kajian daya maju (due diligence) yang komprehensif bagi menilai keupayaan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

Laporan itu menyebut lima kelemahan tadbir urus, perolehan dan kewangan yang ditemui, selain pemilihan reka bentuk dan sistem pengurusan kombat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 4:32 PM