Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. FOTO ARKIB NSTP
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. FOTO ARKIB NSTP
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan (Mindef) akan melakukan apa sahaja bagi memastikan isu Kapal Tempur Pesisir (LCS) dapat diselesaikan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata pihaknya memberikan kerjasama penuh kepada semua badan berkuasa yang melakukan siasatan.

Pasukan siasatan itu, katanya, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) serta Audit Forensik.

"Mindef mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung isu perolehan Littoral Combat Ship (Kapal Tempur Pesisir atau LCS) sebentar tadi.

"Saya dan barisan kepimpinan di Mindef tiada sebarang perkara yang hendak disembunyikan, sebaliknya hanya mahukan perkara ini dapat diselesaikan dan diteruskan demi kepentingan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), demi wang awam yang dibelanjakan serta kepentingan negara.

"Mindef juga memberi jaminan bahawa keputusan Kabinet tidak akan mengganggu tiga perkara yang saya tegaskan beberapa kali sebelum ini," katanya dalam kenyataan, menyusul sejurus kenyataan Perdana Menteri hasil Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Hishammuddin berkata, keputusan Kabinet tidak mengganggu tiga perkara ditegaskan beberapa kali olehnya sebelum ini iaitu pertama, TLDM memerlukan LCS dan sebab itu ia mesti diteruskan selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada April 2022.

"Kedua, pihak yang salah tetap salah dan mesti dihadapkan ke muka pengadilan. Ketiga, dalam tempoh enam bulan ini, Mindef juga sedang giat melakukan kerja-kerja rundingan dengan pihak OEM, vendor dan perbankan sebagai pelan mobilisasi bagi memastikan LCS dapat disiapkan," katanya.

Justeru, katanya, penting untuk semua pemegang taruh kekal fokus terhadap usaha meneruskan projek LCS, demi memastikan TLDM dapat memiliki LCS yang sangat diperlukan dengan secepat mungkin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 6:43 PM