KAPAL Tempur Pesisir sewaktu upacara penamaan dan pelancaran di dermaga Boustead Naval Shipyard, pangkalan TLDM Lumut, pada 24 Ogos 2017. FOTO arkib NSTP
KAPAL Tempur Pesisir sewaktu upacara penamaan dan pelancaran di dermaga Boustead Naval Shipyard, pangkalan TLDM Lumut, pada 24 Ogos 2017. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyegerakan siasatan isu Kapal Tempur Pesisir (LCS), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, sekiranya terdapat bukti kukuh, Peguam Negara hendaklah membuat pendakwaan dan mereka yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan.

Beliau menegaskan, kerajaan memandang serius isu yang sedang dalam siasatan SPRM, dan perkara ini dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Perdana Menteri berkata, bagi pihak kerajaan beliau memberi jaminan siasatan berhubung isu LCS dijalankan dengan telus dan kerajaan tidak akan melindungi sesiapa pun yang terbabit.

"Saya sudah memanggil Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki selepas Mesyuarat Jemaah Menteri untuk segera bertindak selaras dengan keputusan mesyuarat.

"Dalam masa sama, mesyuarat membuat keputusan agar Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dibenarkan untuk disiarkan kepada umum.

"Jemaah Menteri juga mencadangkan supaya Laporan Pengauditan Forensik Projek LCS yang dijalankan pada tahun 2019 dinyahklasifikasikan (declassify).

"Namun, proses ini perlu mendapat nasihat dan pandangan Peguam Negara dan Ketua Audit Negara terlebih dahulu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, keputusan Jemaah Menteri hari ini tidak akan mengganggu Proses Mobilisasi di bawah Pelan Pemulihan LCS yang diputuskan Jemaah Menteri pada 20 April 2022.

Perdana Menteri juga menegaskan kerajaan komited untuk meneruskan projek LCS berkenaan atas kepentingan pertahanan negara selaras dengan keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 4:34 PM