Farah Marshita Abdul Patah


Kuala Lumpur: Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berhubung projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) mendapati Kementerian Pertahanan tidak melaksanakan kajian daya maju (due diligence) yang komprehensif bagi menilai keupayaan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

Laporan JKSTUPKK yang sudah dinyahklasifikasikan menyebut lima kelemahan tadbir urus, perolehan dan kewangan yang ditemui, selain pemilihan reka bentuk dan sistem pengurusan kombat.

Turut termasuk sebahagian peralatan utama LCS dibuat berdasarkan syor serta pandangan BNS, bukan sepenuhnya daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selaku pengguna.

Berdasarkan laporan itu, kelewatan projek sejak 2015, meliputi rekaan asas dan terperinci sehingga kini masih belum dimuktamadkan, malah isu perolehan peralatan, lakaran pengeluaran, kekurangan tenaga kerja, jurutera tidak mahir, masalah kerjasama dengan Naval Group dan penghantaran steel kits yang lewat diterima serta masalah kecairan dan hutang yang tinggi ditanggung oleh BNS.

"Kegagalan untuk memuktamadkan isu pertukaran peralatan Integrated Platfrorm Management System (IPMS) dan Decoy Launching System (DLS) serta jadual implementasi yang berlarutan sehingga kini menyebabkan impak kos yang tinggi dan tambahan masa panjang akan ditanggung kerajaan, selain tuntutan kos bagi Surface to Surface Missile.

"Kontrak lewat ditandatangani, bon pelaksanaan terkurang dikutip dan tempoh kuatkuasaan bon tidak mengikut kontrak serta isu capping Liquidated Damages (LD) dalam kontrak," katanya.

Sehubungan itu, JKSTUPKK menerusi laporan mengesyorkan hala tuju kontrak LCS dengan memuktamadkan segera pertukaran peralatan IPMS, DLS, dan lanjutan tempoh kontrak bagi mengelakkan peningkatan kos dan tambahan masa menyiapkan pembinaannya.

Katanya, BNS perlu segera menyiap dan memuktamadkan detailed design, selain meningkatkan amalan tadbir urus pengurusan kewangan dan perolehan peralatan bagi memastikan harga diperoleh adalah berbaloi dengan harga untuk kerajaan.

"Kawalan ketat oleh pegawai ke atas bayaran kemajuan kepada BNS supaya sumber kewangan kerajaan hanya digunakan untuk membiayai pembinaan LCS sahaja.

"Kementerian Pertahanan perlu memperkemaskan pengurusan kontrak khususnya capping dalam LD tidak dimasukkan dalam kontrak Supplementary supaya LD dapat dikuatkuasakan bagi penyerahan kapal yang lewat," katanya.

Selain itu, kajian faedah kos dilaksanakan bagi mengelakkan kos projek terus meningkat dan kerajaan perlu mempertimbangkan sama ada untuk meneruskan pembinaan keenam-enam LCS atau mengurangkan bilangannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 4:52 PM