Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan (Mindef) sedang meneliti beberapa syor Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung perolehan kapal tempur pesisir (LCS) untuk tindakan.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pertimbangan akan dilakukan pihaknya berhubung cadangan PAC.

"Cadangan Tan Sri Ambrin Buang (Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan - JKSTUPKK) kita setuju untuk laksanakan.

"Syor PAC juga akan diteliti. Jika ada kebaikan kita akan laksanakan," katanya dalam sidang media selepas Lawatan Kerja ke Kem Perdana Sungai Besi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, timbalannya akan membentangkan mengenai langkah diambil Mindef berhubung isu LCS di Parlimen minggu depan.

Terdahulu, PAC menyarankan tujuh langkah termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan terhadap dapatan Laporan PAC, Laporan Audit Forensik dan laporan JKSTUPKK serta Mindef perlu mengemukakan laporan kemajuan kepada PAC setiap tiga bulan sehingga projek itu disiapkan.

Dua syor PAC dalam Laporan Perolehan Kapal LCS iaitu menyahklasifikasi Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) dan Laporan Pengauditan Forensik Projek LCS sebelum ini dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2022 @ 4:17 PM