PEMBAKARAN terbuka di tanah seluas 0.8 hektar di Jalan Changkat Mukim 11 menjadi tidak terkawal sehingga menjejaskan kualiti udara. FOTO JAS Pulau Pinang
PEMBAKARAN terbuka di tanah seluas 0.8 hektar di Jalan Changkat Mukim 11 menjadi tidak terkawal sehingga menjejaskan kualiti udara. FOTO JAS Pulau Pinang
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengeluarkan 20 kompaun bernilai RM40,000 kepada pemilik premis memproses hampas kelapa sawit yang membenarkan pembakaran terbuka di Jalan Changkat Mukim 11, Nibong Tebal, dekat sini, hari ini.

Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pembakaran terbuka di tanah seluas 0.8 hektar itu sudah bermula sejak 12 tengah hari semalam namun hanya dimaklumkan kepada pihak bomba pada 3.53 petang tadi selepas keadaan tidak dapat dikawal.

"Pihak kami telah pergi ke lapangan bagi menjalankan siasatan ke atas premis, mengawasi kualiti udara serta penerbangan dron untuk pengesanan dan pemetaan titik panas bagi membantu usaha pemadaman oleh bomba.

"Kerja-kerja pemadaman serta pencegahan untuk mengelakkan kebakaran itu merebak lebih jauh seperti membuat pemecah api masih dijalankan dan situasi kini dalam keadaan terkawal," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sharifah Zakiah berkata, pemantauan Indeks Kualiti Udara Seberang Perai menunjukkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) meningkat sehingga 95 namun ia beransur turun kepada 85 setakat jam 6 petang selepas usaha pemadaman dilakukan.

"Dalam keadaan IPU berada pada tahap sederhana ini, semua pihak diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis dicerobohi pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka

"Setakat hari ini Pulau Pinang tidak menerima hujan selama sembilan hari seperti direkodkan Stesen Meteorologi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth dan kebakaran ini sedikit sebanyak menyumbang kepada penurunan kualiti udara di sekitar Nibong Tebal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 10:45 PM