NORLINA bersama buku autobiografinya. FOTO Eizairi Shamsudin
NORLINA bersama buku autobiografinya. FOTO Eizairi Shamsudin
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Keinginan membantu insan kurang bernasib baik menjadi asbab Norlina Alawi menjadi ibu susuan kepada seorang bayi lelaki yang juga anak kepada pesakit HIV/AIDS 21 tahun lalu.

Bertitik tolak daripada situ, Norlina, 51, terbuka hati untuk menerima dan membesarkan anak penghidap HIV/AIDS yang digelarnya sebagai anak anugerah.

Bukan setakat menjaga dengan kasih sayang namun Norlina bersungguh membantu anak kurang bernasib baik dengan menubuhkan Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia (Pernim) 18 tahun lalu.

"Segala-galanya bermula selepas seorang kenalan membawa seorang bayi lelaki yang memerlukan susu ibu.

"Ketika itu saya sudah mempunyai lima anak kandung namun perasaan kasihan melihat bayi berkenaan mendorong saya meminta izin dengan bekas suami untuk hamil lagi.

"Alhamdulillah, sembilan bulan selepas itu, saya berpeluang menyusukan anak kandung dan bayi diberi nama Iman Roslan yang sudah berusia 21 tahun," katanya ketika ditemui pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku Autobiografi 'Aku Seorang Norlina Alawi' berslogan Dua Dekad Cinta Tanpa Sempadan di Pusat Komuniti Setiawangsa, di sini, hari ini.

Buku itu ditulis oleh novelis terkenal,Lily Harlina Nasir dan mengangkat kisah Norlina yang sejak kecil menyaksikan kedua ibu bapanya membantu penduduk kampung yang memerlukan bantuan.

Majlis pelancaran disempurnakan Datin Seri Masdiana Muhamad, isteri Menteri Besar Selangor, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Hadir sama, anak Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurul Hidayah dan penyanyi terkenal, Khadijah Ibrahim yang membuat persembahan pada majlis berkenaan.

Ia dianjurkan Keluarga Besar Norlina Alawi Berhad (KBNAB) sempena ulang tahun ke-18 Pernim dengan tujuan memperingati penubuhan persatuan dan menghimpunkan semula anak-anak yang pernah dipelihara dan tinggal di bawah satu bumbung. sebelum ini.

Norlina berkata, dia mempunyai tujuh anak kandung dan sudah membesarkan 100 anak anugerah terdiri daripada anak yatim, tidak sah taraf, anak mualaf dan anak yang terbiar tanpa latar belakang.

Menurut Norlina, sebahagiannya tinggal bersamanya di Cheras Baru dan masih bersekolah rendah dan menengah, manakala yang lain sedang melanjutkan pengajian di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) serta Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTA), bekerja serta tinggal di luar kerana sudah berkeluarga.

"Saya ambil anak-anak itu daripada sehelai sepinggang dan cuba membesarkan mereka walaupun saya bukan sesiapa dan hanya orang biasa.

"Saya lakukannya kerana enggan mereka dicemuh dan demi saham akhirat. Alhamdulillah, anak kandung saya menerima dengan baik malah sanggup berkorban untuk adik mereka.

"Apabila sudah dewasa, ada yang berdikari dan keluar rumah untuk bekerja, berkahwin dan membina rumah tangga.

"Bagaimanapun, ikatan antara mereka dengan saya dan adik beradik yang lain tidak terputus malah silaturahim seperti ahli keluarga kandung sendiri itu akan terus berkekalan," katanya.

Dalam pada itu, Norlina berkata, idea menerbitkan buku 'Aku Seorang Norlina Alawi' tercetus sejak tahun lalu dan bersyukur kerana dapat diterbitkan juga selepas tertangguh akibat pandemik Covid-19.

"Penghasilan buku itu adalah bagi mewakili diri saya dalam usaha melahirkan lebih ramai klon Norlina Alawi di luar sana yang boleh mencintai sesama insan tanpa sempadan.

"Saya hanya seorang ibu yang mempunyai anak ramai dan apa saya lakukan itu adalah fardu kifayah untuk menyelamatkan anak-anak.

"Tiada beza layanan antara anak kandung dan anak anugerah kerana mereka berkongsi makan dan minum yang sama, tidur sebantal, pergi dan balik sekolah juga bersama dan rentetan kisah itu saya kongsikan di dalam sebuah buku

"Saya beranggapan jika setiap daripada keluarga di negara ini menerima walau hanya seorang anak anugerah untuk dipelihara pasti kita akan menjadi rakyat yang lebih prihatin dan berjaya.

"Inilah yang saya perjuangkan supaya anak-anak yang tidak beridentiti, anak kehilangan ibu bapa akibat HIV/AIDS , anak terbiar kerana dibuang waris kerana menghidap penyakit ini mendapat perlindungan daripada kita semua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2022 @ 7:33 PM