Safuri Kamarudin


Baling: Banjir kilat yang melanda daerah ini disifatkan sebagai luar biasa kerana berlaku dengan cepat walaupun hujan selama dua jam.

Penduduk menyifatkan banjir yang berlaku itu tidak dijangka dan tanpa mengira musim.

Seorang penduduk, Mohd Zaini Mohd Zain, 60, dari Kampung Bendang Sera berkata, hujan tidak menentu menyebabkan mereka tidak melakukan persediaan kerana menganggap hujan biasa.

Menurutnya, air terlalu deras dan melimpah dengan cepat masuk ke rumah, malah tidak berasa selamat lagi berbanding sebelumnya hanya sampai halaman rumah.

"Tapi kali ini tidak menjangka berlaku banjir kilat dan tidak tahu punca air laju dan melimpah dengan cepat.

"Sebab itu saya terkejut kerana berlaku dengan cepat sehingga tidak sempat menyelamat barang-barang," katanya ketika ditemui PPS Dewan Tun Abdul Razak di sini, hari ini.

Mohd Zaini berkata, rumahnya yang terletak di pinggir tebing Sungai Baling menyebabkan kerap berlaku banjir dan mudah air masuk ke rumah.

"Bila hujan lebat dua jam mesti air masuk dalam rumah, tapi kali ini air naik ke paras tingkap rumah sehingga tidak sempat untuk menyelamat apa-apa barangan.

"Kami tujuh beranak terpaksa pindah ke PPS di Dewan Tun Abdul Razak kerana bimbang berlaku kejadian buruk dengan keadaan cuaca gelap," katanya

Rumah penduduk di Kampung Batu Tujuh Baling dinaiki air dalam kejadian banjir kilat. FOTO IHSAN PENDUDUK
Rumah penduduk di Kampung Batu Tujuh Baling dinaiki air dalam kejadian banjir kilat. FOTO IHSAN PENDUDUK

Seorang lagi mangsa, Zanariah Shamsudin, 51, dari Kampung Batu Tujuh berkata, air naik setinggi satu meter menyebabkan mereka empat beranak keluar awal kerana bimbang terperangkap.

"Kali ini air naik luar biasa sehingga tidak sempat menyelamat apa -apa barangan.

"Semua barang rosak dan kami anak beranak hanya sempat menyelamat dokumen penting," katanya.

Beliau berkata, mereka tidak selamat lagi tinggal di situ dan berhasrat untuk berpindah sekiranya kerajaan membina penempatan baharu.

"Kehidupan tidak selesa lagi seperti dahulu kerana hidup dalam keresahan apabila hujan lebat," katanya.

Tinjauan di PPS Dewan Tun Abdul Razak Baling masih ada 14 mangsa daripada tiga keluarga dan lima keluarga dengan 17 orang masih berada di PPS Sekolah Kebangsaan Tunku Puan Habsah di sini, sehingga jam 2 petang hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 2:45 PM