PENDUDUK Taman Syed Mohd Idrus, Gelang Patah membersihkan rumah selepas banjir kilat pulih. FOTO ihsan JBPM
PENDUDUK Taman Syed Mohd Idrus, Gelang Patah membersihkan rumah selepas banjir kilat pulih. FOTO ihsan JBPM
Omar Ahmad


"INI kali pertama Kampung Baru Muafakat, Gelang Patah dilanda banjir kilat sejak 20 tahun lalu," kata Basroen Adnan, 57, penduduk kampung terbabit ketika ditemui hari ini.

Banjir pernah berlaku di kampung itu pada tahun 2000 dengan paras ketinggian air satu meter.

Menurutnya, banjir kilat yang terjadi pagi semalam sangat pantas sehingga dia dan keluarga tidak sempat menyelamatkan barangan di rumah.

"Sudah lama kampung kami tidak dilanda banjir kilat. Hujan lebat dan air naik mendadak dalam tempoh lima minit sehingga ke paras pinggang.

"Habis semua barang rosak, tidak sempat selamatkan apa-apa barangan termasuk pakaian dan tilam, malah peti sejuk juga sudah rosak kerana dimasuki air banjir.

"Banjir kilat ini cepat surut, petang semalam pun sudah ada penduduk yang pulang dari pusat pemindahan sementara (PPS) untuk membersihkan rumah yang sudah tidak ditenggelami air," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri Samsul Khomari Bakar berkata, banjir kilat semalam berlaku di lima kampung termasuk Kampung Bukit Tempurung.

"PPS Balairaya Gelang patah sudah ditutup sepenuhnya.

"Pemantauan terus dibuat dan hari ini didapati air banjir surut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 8:07 PM