Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Tindakan tidak bertanggungjawab menjadikan masjid sebagai tempat berpolitik ditegur Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang bimbang akan menimbulkan ketidakharmonian dan akhirnya perpecahan dalam kalangan umat Islam.

Sultan Sallehuddin bertitah, umat Islam sepatutnya tidak boleh membangkitkan isu yang boleh menggugat perpaduan ummah sama sekali.

"Beta mengharapkan agar umat Islam di Kedah ini juga sentiasa hidup dalam bersatu padu dan menjaga keharmonian.

"Antara salah satu sebab perpecahan yang melanda masyarakat ialah ketidakmampuan mengendalikan hawa nafsu selain tidak matang dalam memberikan tindak balas dalam perbezaan pendapat sehingga mudah melenting dan bergaduh sesama sendiri.

"Walhal, pergaduhan itu ada yang berpunca daripada isu remeh temeh," titah baginda pada Majlis Perhimpunan Sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah Tahun 1445H di sini, hari ini.

Sultan Sallehuddin bertitah, bibit perpecahan dapat diatasi apabila umat Islam kembali semula kepada ajaran yang paling asas iaitu berpegang pada roh al-Quran.

SULTAN Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah  pada Majlis Perhimpunan Sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah Tahun 1445H. FOTO Syaharim Abidin
SULTAN Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah pada Majlis Perhimpunan Sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah Tahun 1445H. FOTO Syaharim Abidin

Baginda menyeru umat Islam menghayati peringatan Allah menerusi Surah Ali Imran ayat 105 yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.

"Oleh itu, beta menyeru agar kita semua menghayati setiap inci iktibar dari kehidupan Rasulullah serta berusaha sedaya upaya menyerap tingkah laku dan akhlak baginda agar tercerna dalam hidup kita uswah dan qudwah baginda yang sangat mulia itu," titah baginda.

Baginda bertitah, persaudaraan antara kaum Muhajirin dan Ansar perlu menjadi tauladan kepada umat Islam bahawa ikatan keimanan, akidah dan keikhlasan menjadi tunjang kepada pembinaan negara Islam.

Titahnya, tanpa meremehkan atau meminggirkan kepelbagaian budaya, fahaman, kaum dan agama, Rasulullah melakukan perjanjian dan persefahaman dengan pelbagai lapisan masyarakat yang tinggal di Kota Madinah.

"Perjanjian itu menunjukkan jiwa besar Rasulullah membina penyatuan masyarakat, mencintai kehidupan aman damai dan selamat, tidak berperang sesama sendiri.

"Semua perkara penting dipertimbangkan sebelum membuat perjanjian dengan penduduk Madinah sama ada Muslim atau bukan Muslim.

"Setelah itu, Rasulullah SAW membentuk persefahaman semua pemimpin kaum dengan perjanjian Piagam Madinah sebagai panduan bagi pembinaan negara dan umat yang bermaruah melalui kematangan politik," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2023 @ 1:28 PM