Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mengingatkan rakyat supaya mengelakkan sentimen mementingkan diri, berpuak-puak dan bermusuhan disebabkan perbezaan fahaman politik,

Baginda bertitah perbezaan fahaman politik tidak sepatutnya berlaku dan sebagai umat Islam perlu menunjukkan contoh terbaik kepada masyarakat bukan Islam.

"Beta mendoakan negeri Terengganu mempunyai masyarakat yang mengutamakan kerukunan, kedamaian dan kesepakatan dalam menghadapi pelbagai kehidupan yang mendatang.

"Kita sedia maklum negara dan negeri ini mempunyai masyarakat berbilang agama, kaum, budaya dan bangsa.

"Dengan kepelbagaian yang unik ini, beta menyeru supaya seluruh rakyat jelata sama ada yang beragama Islam dan bukan agama Islam supaya saling hormat menghormati.

"Menjaga keharmonian dan perpaduan sesama kita dengan tidak menimbulkan isu-isu menyentuh sensitiviti agama dan bangsa yang kesannya akan menyebabkan perpaduan di kalangan rakyat jelata semakin jauh," titah baginda.

Baginda bertitah merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah; Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan tiga anakanda. Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2023 @ 1:46 PM
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.  FOTO GHAZALI KORI
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. FOTO GHAZALI KORI