GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Ahmad Hasbi

[email protected]

Tampin: Seorang anggota tentera meninggal dunia dipercayai terkena renjatan elektrik ketika sedang bertugas di Pos Zulu Kem Asahan berhampiran Kem Syed Sirajuddin Gemas, di sini, malam Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, Mark Anak Rungai, 38, dikatakan tidak sedarkan diri ketika membuat penyambungan set generator di lokasi kejadian sebelum dihantar ke hospital, namun disahkan meninggal dunia kira-kira dua jam kemudian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintenden Amiruddien Sariman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada anggota yang bertugas di Pos Zulu, Kem Asahan memaklumkan kejadian itu.

"Ketua Polis Balai Air Kuning Selatan bersama anggota bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa sudah dihantar ke Hospital Tentera Darat, Kem Syed Sirajuddin.

"Siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa mahu menyambung wayar lampu ke generator yang dihidupkan dan dikatakan terkena renjatan elektrik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, difahamkan ketika kejadian itu, rakan setugas mangsa berada di lokasi dan menyaksikan kemalangan berkenaan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor yang bertugas di Kem Tentera Darat, Kem Syed Sirajuddin, kira-kira pukul 10.30 malam dan hasil pemeriksaan ke atas tubuh mangsa tidak menemui sebarang kecederaan serta unsur jenayah.

"Bedah siasat akan dijalankan di Hospital Tampin bagi mengetahui punca kematian. Kes ini diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR)," katanya.

End

From: Hasbi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 11:40 PM