DR Mahathir merasmikan anugerah cemerlang SPM 2021 PTTI Group dan pelancaran Malaysia Bangkit Belajar 2022. Turut hadir, Siti Farhana (dua dari kanan), MK K-Clique (kiri) dan Iman Troye (kanan). FOTO Asyraf Hamzah
DR Mahathir merasmikan anugerah cemerlang SPM 2021 PTTI Group dan pelancaran Malaysia Bangkit Belajar 2022. Turut hadir, Siti Farhana (dua dari kanan), MK K-Clique (kiri) dan Iman Troye (kanan). FOTO Asyraf Hamzah
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pusat peningkatan akademik dan pakar dalam membantu pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), PTTI melancarkan program Malaysia Bangkit Belajar sebagai usaha membantu pelajar daripada keluarga berstatus B40.

Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau mesra disapa sebagai Cikgu Fana berkata, menerusi inisiatif itu pihaknya menyediakan pelbagai kemudahan penyampaian ilmu secara percuma melalui aplikasi PTTI Better Result.

"Inisiatif ini dilancarkan kepada pelajar tingkatan satu hingga lima yang akan mendapat bimbingan belajar dan tuisyen secara percuma bermula 24 hingga 30 Julai ini melalui aplikasi PTTI Better Result.

"Selain itu kami turut menyediakan 10,000 Buku Strategi Skor A SPM Percuma untuk membantu tingkatkan kemampuan dan kuasa tindakan pelajar berdasarkan tips praktikal sebenar daripada pelajar cemerlang PTTI.

"Kami turut  berbesar hati dengan pembabitan dua selebriti terkenal yang turut menyokong PTTI iaitu Iman Troye dan MK K-Clique yang akan membantu mempromosikan Program Malaysia Bangkit Belajar sekali gus mencapai impak yang lebih baik," katanya.

Program itu dirasmikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Majlis Anugerah Cemerlang SPM 2021 anjuran PTTI, di ibu negara, kelmarin.

Pada majlis itu, Dr Mahathir turut menjadi panel Wacana Halatuju Sistem Pendidikan dan Pembelajaran Dalam Talian Negara.

Cikgu Fana berkata, pada majlis itu, PTTI meraikan kecemerlangan 335 pelajar yang memperoleh semua A dalam mata pelajaran, 7A ke atas dan 5A ke atas.

"Antara kriteria pelajar cemerlang yang dipilih adalah berdasarkan tiga kategori. Kategori pertama, pelajar yang mencapai semua subjek A dalam peperiksaan SPM.

"Kategori kedua, pelajar yang mencapai tujuh subjek A dalam peperiksaan SPM. Kategori ketiga, pelajar yang mencapai subjek gred G dalam peperiksaan percubaan SPM dan berjaya meningkatkan subjek kepada gred A dalam Peperiksaan SPM.

"Kami menilai bukan sekadar di atas kertas keputusan tetapi kecemerlangan juga harus dinilai melalui usaha yang ditunjukkan pelajar ini," katanya.

Beliau berkata, selain itu, semua pelajar yang dipilih untuk menerima penghargaan datang daripada pelbagai latar belakang.

"Ini memberi makna pendidikan itu sendiri tiada diskriminasi selain di PTTI kami sentiasa optimis pendidikan yang berkualiti milik semua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 4:22 PM