PENGUATKUASA KPDNHEP memeriksa minyak masak paket bersubsidi satu kilogram yang disimpan di sebuah pasaraya di Kota Warisan Sepang. FOTO Ihsan KPDNHEP
PENGUATKUASA KPDNHEP memeriksa minyak masak paket bersubsidi satu kilogram yang disimpan di sebuah pasaraya di Kota Warisan Sepang. FOTO Ihsan KPDNHEP
Samadi Ahmad

Putrajaya: Pelanggan disyaratkan membeli barangan lain bagi mendapatkan minyak masak paket bersubsidi satu kilogram (kg).

Itu antara syarat dikenakan sebuah pasaraya di Kota Warisan, Sepang yang akhirnya dikenakan tindakan kerana menjualnya secara bersyarat kepada pelanggan.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, pada Jumaat lalu KPDNHEP Cawangan Sepang sudah mengambil tindakan susulan aduan daripada orang awam.

Menurutnya, anggota penguatkuasa yang berpakaian preman menjalankan pemeriksaan di premis berkenaan dan mengesahkan wujud perlakuan urus niaga tidak beretika oleh peniaga pasaraya terbabit membabitkan barang kawalan bersubsidi minyak masak paket satu kg.

"Ketika pemeriksaan, peniaga premis itu gagal mengemukakan dokumen deklarasi maklumat berhubung keberadaan sebenar bekalan minyak masak bersubsidi yang dipasarkan.

"Kegagalan peniaga itu membolehkan penguatkuasa KPDNHEP untuk membuat siasatan ke atas premis di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB 1961)," katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Azman berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis itu menyimpan sejumlah minyak masak bersubsidi paket satu kg di dalam stor.

"Sejumlah 1,944 unit minyak masak paket bersubsidi satu kg bernilai RM4,860 dan lain- lain dokumen dirampas," katanya.

Katanya, premis itu turut disiasat di bawah peruntukan AKB 1961 dan subsidiari di bawahnya iaitu Seksyen 16A (1)(b) enggan menjual barang berjadual dalam milikannya dengan kuantiti yang munasabah kepada pelanggan dalam urusan perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 1:09 PM