GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


Kuching: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas lebih 2.1 tan minyak masak paket bersubsidi satu kilogram pada serbuan di sebuah kilang kitar semula minyak masak di Senadin, Miri dekat sini, semalam.

Seorang lelaki yang juga pekerja kilang terbabit turut ditahan pada serbuan yang dijalankan hasil risikan selama dua minggu itu.

Jurucakapnya berkata, pemeriksaan mendapati, minyak masak paket satu kilogram itu dikumpul sebelum diisi ke dalam dua tangki berkapasiti 1,000 liter.

"Berdasarkan jumlah minyak masak dalam paket yang ditemui, nilai rampasan itu berjumlah RM5,272.50.

"Pekerja kilang terbabit dikenal pasti menggunting paket plastik dan kemudian memasukkan minyak masak itu ke dalam tangki sebelum dijual kepada pihak industri.

"Kilang terbabit membeli minyak masak bersubsidi secara pukal sebelum menyembunyikannya," katanya pada kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 1:48 PM