SUSPEK (dua kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya.
SUSPEK (dua kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Putrajaya: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bank bergelar Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes menerima rasuah berjumlah lebih RM24 juta sebagai balasan meluluskan pinjaman lebih RM294 juta dibuat sebuah syarikat tempatan.

Lelaki berusia lingkungan 50-an itu adalah suspek keempat yang ditahan selepas tiga individu termasuk seorang CEO wanita direman berkaitan kes sama pada 19 Julai lalu.

Majistret R Prabakaran membenarkan suspek keempat terbabit direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 25 Julai 2022 selepas pihak SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Di mahkamah sama, Majistret turut membenarkan suspek CEO wanita itu disambung reman selama tiga hari bermula semalam manakala dua lagi suspek dibebaskan dengan wang jaminan RM15,000 setiap seorang.

Menurut sumber, bekas CEO lelaki itu ditahan di rumahnya di Ipoh, Perak, kira-kira jam 4 petang semalam.

Dalam pada itu, sumber sama berkata, setakat ini pasukan siasatan dikatakan berjaya mendapatkan kembali hampir keseluruhan wang berjumlah RM24 juta hasil sitaan wang serta aset walaupun kegiatan berkenaan berlaku kira-kira 10 tahun lalu.

Difahamkan pihak SPRM sudah membekukan 22 akaun bank milik individu dan syarikat berjumlah kira-kira RM6.3 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dalam kes ini.

"Pasukan siasatan juga dikatakan berjaya mengesan wang milik suspek utama yang disimpan di negara jiran berjumlah kira-kira RM16.3 juta," ujar sumber itu.

Tambah sumber itu lagi, kesemua wang berjumlah RM22.6 juta dibekukan untuk tindakan selanjutnya dan operasi ini masih giat dijalankan di sekitar Kuala Lumpur, Perak dan Sabah.

Menurutnya, wang itu berjaya dikesan selepas pasukan siasatan melakukan analisa data menjejak aset.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA) SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin, ketika dihubungi mengesahkan penahanan dilakukan itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009..

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2022 @ 1:18 PM