FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Seorang lelaki warga emas ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana bertindak sebagai broker berkaitan kontrak perolehan enam Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Lelaki berusia 62 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu yang dianggarkan bernilai RM 24 juta.

Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira jam 9.30 malam semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.

"Difahamkan, suspek dipercayai mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu yang dianggarkan bernilai RM24 juta kepada sebuah syarikat perkapalan melalui tiga syarikat.

"Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan permohonan reman selama lima hari bermula hari ini sehingga 30 Januari selepas SPRM membuat permohonan berkenaan di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi," katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Semalam, media melaporkan SPRM menemui petunjuk baharu dalam siasatan kes kontrak perolehan enam LCS yang dilaksanakan oleh Bousted Naval Shipyard.

Berdasarkan petunjuk baru itu SPRM menahan dua Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat yang terbabit dalam projek itu.

Kedua-dua CEO berusia 79 dan 49 tahun ditahan ketika memberi keterangan bagi membantu siasatan di Ibu Pejabat SPRM, kelmarin.

Kedua-dua ditahan kerana disyaki melakukan penyelewengan dan menerima rasuah menerusi pembayaran yang dibuat kepada tiga syarikat di luar negara.

Sementara seorang lagi, disyaki menerima rasuah daripada sub-kontraktor yang dilantik bagi mengendalikan projek itu.

Siasatan tertumpu kepada kesalahan di bawah seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan:

  • Dua CEO ditahan kes kapal tempur pesisir pantai
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 2:28 PM