PEGAWAI SPRM menahan reman seorang Pengarah Projek Syarikat kerana disyaki membuat tuntutan palsu RM2.4 juta berhubung pembayaran projek kabel dasar laut.
PEGAWAI SPRM menahan reman seorang Pengarah Projek Syarikat kerana disyaki membuat tuntutan palsu RM2.4 juta berhubung pembayaran projek kabel dasar laut.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah menahan seorang Pengarah Projek Syarikat kerana disyaki terbabit membuat tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM2.4 juta berhubung pembayaran projek kabel dasar laut di utara tanah air.

Perintah tahanan reman selama lima hari sehingga 11 Oktober hadapan dikeluarkan Majistret, Noorlynna Hanim Abd. Halim, selepas meluluskan permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret 4, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur tadi.

Semalam, suspek lelaki yang berusia 46 tahun itu ditahan kira-kira jam 4 petang di ibu negara ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur.

Menurut sumber, syarikat yang mengendalikan projek itu membuat lebihan bayaran kira-kira RM2.4 juta kepada syarikat kontraktor apabila pihak kontraktor mengemukakan invois tuntutan berdasarkan dokumen mengandungi butiran palsu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manaf ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan siasatan lanjut sedang dilakukan pihaknya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 3:05 PM