NAJIB  bersalaman dengan  pelajar pondok di Madrasah Al-Ulum Ad-Diniah Al-Usmaniah Pondok Tanjung Kapor,  semalam.
NAJIB bersalaman dengan pelajar pondok di Madrasah Al-Ulum Ad-Diniah Al-Usmaniah Pondok Tanjung Kapor, semalam.
Suzalina Halid dan Embun Majid

Jitra: Pengiktirafan Liga Dunia Muslim (MWL) yang menjadikan Malaysia sebagai contoh unggul daripada segi keharmonian nasional membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) berada di landasan yang benar dalam memartabatkan syiar Islam di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, pengiktirafan itu disifatkan amat bermakna berikutan bukan mudah bagi badan dunia yang berpusat di Riyadh, Arab Saudi itu untuk memberi penghargaan berkenaan.

“Yang terbaru, MWL mengiktiraf Malaysia sebagai negara contoh unggul dalam Islam bila kita memperkenalkan dasar wasatiyah (kesederhanaan) iaitu prinsip asas dalam Islam.

“Bukan senang...Liga Muslim itu bukan orang yang kita bayar gaji tetapi ia berpusat di Riyadh (di Arab Saudi) dan teropong semua negara di dunia ini sebelum mengiktiraf Malaysia sebagai contoh unggul Islam, ” katanya berucap ketika bersarapan bersama warga tahfiz di Madrasah Al-Ulum Ad-Diniah Al-Usmaniah Pondok Tanjung Kapor dekat sini, semalam.

Sambutan meriah melalui kehadiran lebih 1,000 warga pondok dan tahfiz di seluruh Kedah yang diterima Najib jelas membuktikan institusi terbabit menyokong penuh kepemimpinan Perdana Menteri itu.

Terdahulu, pada majlis itu, Najib menyerahkan bantuan RM4 juta bagi baik pulih masjid serta surau, bantuan asrama kepada 25 Sekolah Agama Rakyat (SAR) berjumlah RM2 juta dan 11 pondok (RM162,000).

Sebelum ini, MWL mengiktiraf Malaysia sebagai contoh unggul di dunia daripada segi keharmonian nasional walaupun mendukung pelbagai etnik dan budaya.

Setiausaha Agung MWL Mohammad Abdulkarim Al-Issa berkata, kejayaan Malaysia membuktikan pendekatan kesederhanaan (wasatiyyah) selari dengan ajaran Islam sebenar.

Pada masa sama, Najib berkata, pelbagai lagi pengiktirafan dan inisiatif dilaksanakan yang membuktikan bahawa kerajaan amat komited dalam memartabatkan Malaysia sebagai negara Islam.

Katanya, ia termasuk inisiatif Malaysia iaitu satu-satunya negara yang menggubal Indeks Syariah Malaysia pada 2015, di mana negara mencatat skor 76.06 peratus pada tahun lalu.

“Kita satu-satunya negara di dunia yang menggubal indeks terbabit dan skor yang diperoleh tahun lalu mencapai 76.06 peratus iaitu satu pencapaian yang dikira baik tetapi masih ada ruang untuk ditingkatkan.

“Kalau ada sesiapa nak tuduh kononnya kita bukan negara Islam atau terlalu longgar dalam komitmen kita untuk meninggikan syariah Islam, kita boleh tunjuk bahawa ia tidak benar sebab pencapaian kita mencapai 76.06 peratus,” katanya.

Selain itu, Najib berkata, pihaknya mengangkat pendidikan tahfiz dan pondok di negara ini sebagai agenda dan dasar penting kerajaan malah ia dibuktikan melalui pengenalan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) yang berpandu kepada lima prinsip maqasid Syariah antaranya menjaga agama, akal dan nyawa.

“Bila saya sebut mengenai DPTN, kita punya matlamat jangka panjang ialah untuk melahirkan 125,000 huffaz yang profesional...malah kita juga membuka saluran kepada pelajar tahfiz untuk peluang menyambung pengajian ke peringkat diploma dan ijazah di Universiti Teknologi MARA (UiTM), ” katanya.

Najib turut mengingatkan semua institusi pondok dan tahfiz di negara ini supaya mematuhi piawaian ditetapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mengelak tragedi kebakaran di Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur yang meragut 23 nyawa, September tahun lalu berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Mac 2018 @ 4:02 AM