Oleh Omar Ahmad


Johor Bahru: Lebih 900 pembeli kediaman Pangsapuri Taman Seri Molek Perdana, Plentong di sini kecewa apabila rumah yang dibina sejak 2010 gagal diserahkan kepada mereka.

Penjawat Awam yang juga pembeli, Hasnah Hussin, 53, berkata dia sudah membayar pinjaman perumahan itu kepada pihak bank sejak 2014 dengan kadar RM270 sebulan.

Katanya, dia kini terpaksa menyewa di pangsapuri lain sekitar Johor Bahru dengan kadar sewaan RM1,200 sebulan, kerana rumah dibeli tidak diserahkan kunci untuk diduduki.

"Sepanjang lapan tahun saya terpaksa menyewa rumah lain, sudah dua kali saya berpindah rumah sewa namun rumah yang sepatutnya saya duduk tidak diserahkan kunci.

"Jika kediaman saya ini sudah boleh diduduki, saya boleh berjimat dan menggunakannya untuk tujuan lain, sehinggakan anak saya sendiri tidak dapat menyambung pengajian kerana kekangan kewangan.

"Banyak kali saya telefon pihak Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), bila mahu berikan kunci rumah untuk diduduki. Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mereka memberitahu lif belum sampai. Baru-baru ini mereka memaklumkan lif sudah dipasang dan sedang tambah baik sedikit lagi.

"Sedikit itu sampai bila? Adakah kami perlu tunggu lagi 13 tahun. Saya mahu kunci rumah diserahkan segera, kos hidup makin tinggi, jika duduk di rumah sendiri dan tidak menyewa, banyak perkara kami boleh berjimat," katanya ketika ditemui di pekarangan Taman Seri Molek Perdana, Plentong, di sini, hari ini.

Hasnah berharap keluhannya akan mendapat perhatian daripada kerajaan negeri, pusat dan juga pihak Istana Johor.

"Saya mewakili pembeli kediaman ini sudah penat dan tidak tahu hendak mengadukan masalah ini dengan siapa lagi, pihak kerajaan negeri sudah, kerajaan pusat sudah, wakil rakyat pun sudah.

"Harapan yang saya miliki ketika ini hanyalah berharap permasalahannya ini akan mendapat perhatian Sultan Johor dan juga Tunku Mahkota Johor (Pemangku Raja Johor), semoga ada jalan penyelesaian dan penduduk dapat kunci dengan segera," katanya.

Sementara itu, wakil pertubuhan bukan kerajaan, Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), Idaham Jalani, 45, memohon pihak kerajaan terutama SPNB untuk menyelesaikan isu yang tertangguh begitu lama.

"Difahamkan perumahan ini hanya tinggal kurang daripada 20 peratus untuk disiapkan, namun sehingga kini penduduk masih menunggu untuk mendapatkan kunci kediaman mereka," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor memberitahu, SPNB memaklumkan fasa dua projek membabitkan Blok A, B dan C pangsapuri itu sepatutnya diserahkan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada 31 Disember tahun lalu namun mengalami kelewatan serahan kunci akibat urusan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Seramai 432 pembeli dijangka menerima kunci mereka pada bulan depan. Manakala bagi fasa tiga iaitu Blok D dan E, seramai 215 pembeli dijangka menerima kunci kediaman masing-masing pada Disember tahun ini.

"Fasa pertama projek berkenaan iaitu Blok F sudah memperoleh CCC pada tahun 2020," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2022 @ 2:43 PM