PANGSAPURI Taman Seri Molek Perdana yang mula dibina pada tahun 2010 masih belum diduduki . FOTO Arkib NSTP
PANGSAPURI Taman Seri Molek Perdana yang mula dibina pada tahun 2010 masih belum diduduki . FOTO Arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Kenyataan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) mengenai kelewatan penyerahan kunci Pangsapuri Taman Seri Molek Perdana, Plentong di Johor berpunca daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah kurang tepat.

Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan TNB menjelaskan, dalam pertemuan Julai lalu, pihaknya menyarankan SPNB berbincang semula dengan kontraktor terbabit untuk menyerahkan dokumen lazim yang perlu iaitu (Borang A).

Katanya, saranan itu termasuk penyerahan wang pendahuluan kepada TNB secepat mungkin bagi membolehkan kerja pemasangan meter elektrik dapat dilaksanakan dengan kadar segera.

"Namun sehingga sekarang Borang A masih belum di majukan dan di fahamkan kontraktor baharu akan dilantik oleh SPNB dalam bulan ini," kata TNB dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kenyataan itu merujuk laporan Harian Metro bertajuk ' Mana kunci rumah kami' yang disiarkan pada 5 Oktober lalu.

Mengulas lanjut, TNB berkata Borang A adalah kontrak di antara Pengguna dengan TNB dan mengikut Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), perlu dilampirkan sama ialah Borang G dan Borang H bagi membuktikan sistem pendawaian dalam rumah sudah diuji dan selamat sebelum pemasangan meter.

"TNB sudah menyediakan pepasangan yang diperlukan termasuk Pencawang Elektrik yang mula tugas sejak Mac lalu," katanya.

Pengguna yang mempunyai sebarang pertanyaan lain berkaitan akaun boleh menghubungi TNB CareLine di talian 1300885454, Facebook TNB Careline atau Twitter@Tenaga_Nasional.

Akhbar ini pada 5 Oktober lalu melaporkan, ratusan pembeli rumah di Perumahan Taman Seri Molek Perdana di sini, menuntut hak mereka dengan mendesak SPNB menyerahkan kunci kediaman yang dibeli mereka sejak 12 tahun lalu.

Sebelum ini, SPNB memaklumkan fasa dua projek perumahan itu sepatutnya diserahkan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada 31 Disember 2021, namun mengalami kelewatan serahan kunci akibat urusan dengan TNB yang belum selesai.

Fasa tiga iaitu blok D dan E membabitkan seramai 215 pembeli dijangka menerima kunci pada Disember tahun ini.

Fasa satu projek berkenaan yang membabitkan blok F pula sudah memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 2:18 PM