Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Isu membabitkan 958 unit di enam blok pangsapuri di Taman Seri Molek Perdana Plentong, di sini, yang terbengkalai tujuh tahun lalu akan diselesaikan serta diserahkan kepada pemilik unit berkenaan enam bulan lagi.

Wakil pemaju perumahan berkenaan, Chok Kim Sin berkata komitmen itu diberikan berikutan syarikat yang dianggap penyelamat bagi projek terbengkalai itu sedang menunggu suntikan RM5 juta bagi meneruskan pembangunan masih berbaki.

“Kami mengambil alih projek itu pada tahun 2015 dan ketika itu kemajuannya sekadar 45 peratus, namun selepas dua tahun mengambilalih projek itu tahap kemajuannya meningkat kepada 98 peratus.

“Sebagai syarikat penyelamat dari projek di bawah kerajaan, tahap kemajuan projek dapat diselesaikan begitu tinggi termasuk menyediakan kemudahan jalan serta bekalan elektrik,” katanya ketika ditemui di tapak projek pangsapuri itu semalam.

Chok berkata, syarikat meminta pembeli unit pangsapuri itu bersabar, memandangkan banyak wang diperlukan bagi meneruskan projek itu.

“Jika dihitung jumlah 480 unit kediaman kos rendah bernilai RM35,000 bagi setiap unit, sudah pasti subsidi yang kami laburkan tinggi.

“Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang menyebabkan syarikat kami terpaksa memperuntukkan RM17 juta,” katanya.

Berikutan itu, katanya, syarikat itu dijangka dapat menyerahkan semua unit berkenaan untuk tempoh enam bulan, selain diserahkan kepada pemegang unit pada hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2017 @ 4:02 AM