Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Kerajaan bersetuju menangguhkan bayaran balik pinjaman kepada pembeli rumah pangsapuri kakitangan awam Lembah Sireh, di sini, yang terbengkalai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembeli hanya perlu meneruskan bayaran selepas kunci rumah diserahkan kepada mereka.

Katanya, projek perumahan itu terbengkalai sejak 2020 namun pembeli yang kebanyakan penjawat awam terpaksa membuat bayaran pinjaman Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

"Selagi rumah belum diduduki, kita bagi pelepasan bayaran moratorium, tak perlu bayar sekarang, hanya bayar masa rumah dah siap," katanya ketika berucap di majlis sesi penyerahan kunci rumah mesra rakyat (RMR) Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Kampung Jaya, Pasir Hor, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi SPNB, Datuk Husam Musa dan Ketua Pegawai Eksklusif SPNB, Datuk Hasleen Isnin.

Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan sentiasa mendengar masalah rakyat khususnya berkaitan perumahan yang menjadi asas keluarga.

Katanya, projek perumahan terutamanya rumah pertama rakyat antara agenda penting yang harus diberi perhatian seperti projek perumahan dilaksanakan SPNB.

"Saya akan teliti kemajuan projek perumahan ini dalam masa singkat dan kalau perlu tambah peruntukan bagi negeri-negeri yang perlukan rumah termasuk di Kelantan," katanya.

ANWAR memberi ucapan  kepada mahasiswa ketika hadir Program “Temu Anwar” di Dewan Universiti Malaysia Bachok (UMK) di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANWAR memberi ucapan kepada mahasiswa ketika hadir Program “Temu Anwar” di Dewan Universiti Malaysia Bachok (UMK) di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Dalam majlis berkenaan, Anwar turut menyampaikan plak kunci sebagai simbolik penyerahan kunci rumah kepada 14 penerima rumah RMR SPNB yang sudah siap dibina di Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Rantau Panjang dan Kubang Kerian.

Media sebelum ini melaporkan, lebih 120 pembeli pangsapuri untuk kakitangan awam di Lembah Sireh kecewa apabila impian menghuni kediaman sendiri belum termakbul.

Projek perumahan itu yang sepatutnya siap pada 2020 dikatakan terbengkalai dan tiada kemajuan selepas pembinaannya tertangguh disebabkan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2023 @ 3:41 PM